SEPANG – Kerajaan berusaha memastikan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dapat dibebaskan menerusi rundingan diplomatik dengan negara besar.
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan rundingan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Qatar serta menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS).
“Beliau selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara bertanya khabar mengenai keadaan keluarga delegasi, bagaimana kesihatan mereka dan mohon sampaikan salam beliau.
“Beliau turut memberi sepenuh jaminan bahawa beliau sendiri memantau dan Kerajaan Malaysia sedang melaksanakan sehabis usaha untuk membebaskan semua delegasi Malaysia kita,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sani Araby berkata, sidang media berhubung perkembangan kapal delegasi rakyat Malaysia dalam GSF ke Gaza dijadual berlangsung pada jam 4 petang ini.
Beliau juga memohon para pendukung misi dan Gaza agar sama-sama berdoa serta menunaikan solat hajat supaya urusan dipermudahkan.
Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.