Murid Tahun Empat meninggal dunia: Bedah siasat selesai

Iklan
Jenazah mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Rembau selepas selesai proses bedah siasat pada Khamis.

REMBAU - Jenazah murid Tahun Empat yang dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang, selesai menjalani bedah siasat selepas tiga jam.

Jasad mangsa dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau sekitar jam 6.30 petang, Khamis.

Iklan
Iklan

Terdahulu, proses bedah siasat ke atas murid lelaki berusia 10 tahun itu bermula jam 2 petang dan selesai kira-kira jam 5.30 petang.

Ahli keluarga mangsa dilihat tiba di Unit Perubatan Forensik sekitar jam 12.55 tengah hari bagi menantikan proses bedah siasat.

Iklan

Dalam kejadian pada Rabu, media melaporkan mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tandas lelaki sebuah sekolah kebangsaan sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta oleh guru disiplin.

Ibu mangsa turut hadir di Unit Forensik Hospital Rembau.

Iklan

Polis menerima maklumat mengenai kematian kanak-kanak itu pada jam 1.19 petang ketika mangsa sedang menerima rawatan di klinik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes kematian murid tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan, sementara menunggu hasil penuh bedah siasat.

Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur buli dalam kes berkenaan.

Dalam pada itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut demi menjaga emosi keluarga mangsa, selain menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Difahamkan, ibu bapa mangsa masih belum bersedia untuk ditemu bual pihak media kerana masih terkejut dan bersedih atas kehilangan anak tersayang.

Seorang ahli keluarga yang turut berada di pekarangan Unit Perubatan Forensik memaklumkan bahawa mereka menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas solat Maghrib.