GUA MUSANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram di Sungai Kelaik di sini selepas menahan 12 individu termasuk pemilik menerusi Op Bersepadu Khazanah pada Rabu.
Dalam operasi kira-kira jam 4 pagi itu, kesemua yang ditahan masing-masing berusia 21 hingga 43 tahun.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan, seorang Orang Asli (lelaki), tujuh lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan lesen melombong yang sah.
"Malah tiga pekerja warga Indonesia didapati tinggal lebih masa di negara ini manakala lima lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk melombong antaranya sebuah jentera berat jenis excavator, mesin pam air serta beberapa kelengkapan lain dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM520,000.
Ujarnya, kesemua suspek dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Enakmen Mineral 2001 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.