KOTA BHARU – Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Kota Bharu dan Tumpat pada Rabu.
Kesemua PATI yang ditahan itu hasil pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi tumpuan antaranya Wakaf Che Yeh, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kampung Kedai Buluh serta sebuah resort di Pulau Suri, Tumpat.
Iklan
Iklan
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, kesemua individu yang ditahan itu masing-masing berusia antara 18 hingga 43 tahun.
"Daripada jumlah yang ditahan, enam lelaki adalah warga Bangladesh, enam lelaki warga Myanmar, lima lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga Thailand," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, kejayaan tersebut adalah hasil maklumat risikan awal yang dilakukan oleh JIM Kelantan.
Ujar Mohamed Yusoff Khan, seramai 15 pegawai bahagian penguatkuasaan telah terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 10 pagi.