Harga ikan naik, cuaca tidak menentu jejas nelayan

Iklan
Ismail menunjukkan hasil tangkapan ikan semasa ditemui di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah pada Khamis.

KUALA KEDAH – Aktiviti penangkapan ikan di perairan Kuala Kedah terjejas susulan cuaca yang tidak menentu dan laut bergelora sejak kebelakangan ini sekali gus menyebabkan bekalan ikan berkurangan dan harga pasaran meningkat.

Keadaan itu memaksa sebahagian besar nelayan khususnya yang menggunakan bot kecil tidak dapat turun ke laut seperti biasa kerana bimbang dengan risiko ombak besar dan ribut yang melanda secara tiba-tiba.

Iklan
Iklan

Nelayan, Ismail Awang, 64, berkata, sejak dua bulan lalu, hasil tangkapan semakin berkurangan dan adakalanya langsung tiada ikan yang dibawa pulang.

“Biasanya saya keluar ke laut sekitar jam 5 pagi tapi sekarang hanya berani turun selepas jam 7 pagi dan pulang sebelum tengah hari. Kadang-kadang hasilnya tak sampai satu kilogram (kg) pun,” katanya semasa ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, ikan yang ditangkap dijual pada harga lebih tinggi berbanding biasa kerana bekalan semakin berkurangan.

“Saya jual juga hasil tangkapan walaupun sedikit tapi harganya mahal sikit sebab ikan memang susah nak dapat sekarang,” kongsinya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari mengesahkan berlaku kekurangan hasil tangkapan laut di seluruh negara akibat faktor cuaca dan laut bergelora.

“Sebahagian besar daripada 100,000 nelayan di negara ini terutama yang menggunakan bot kecil tidak dapat turun ke laut. Di Kedah sahaja, kita ada kira-kira 7,000 nelayan berdaftar dan 3,000 daripadanya berada di sekitar Kuala Kedah,” jelasnya.

Menurut beliau, peningkatan harga ikan adalah kesan langsung daripada kekurangan bekalan namun beliau memberi jaminan bahawa stok ikan sejuk beku yang disimpan oleh pihak swasta dan kerajaan masih mencukupi untuk menampung keperluan semasa.

Beliau turut menasihatkan nelayan agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan memakai jaket keselamatan ketika turun ke laut.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada peniaga ikan dan perkara tersebut diakui Asmawati Ahmad, 43, yang berniaga di pelantar ikan Kampung Seberang Kota.

Menurutnya, permintaan terhadap ikan kembung sangat tinggi namun bekalan amat terhad menyebabkan harga meningkat antara RM10 hingga RM20 satu kilogram bergantung pada saiz.

“Memang susah nak dapat ikan kembung sekarang. Kalau ada pun, harganya mahal iaitu RM8 satu kilogram untuk saiz kecil, RM15 hingga RM18 untuk saiz sederhana dan RM18 hingga RM20 untuk saiz besar,” ujarnya.

Tambahnya, ramai peniaga kini beralih kepada menjual hasil laut lain seperti kerang dan siput sebagai alternatif.

“Kerang dijual RM5 untuk setengah kilogram. Ikan lain seperti kerisi dan cencaru pun naik harga, bergantung pada gred dan saiz,” tambahnya.