KUANTAN - Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam inisiatif baharu dilaksanakan Akademi Pahang 1st sebagai platform melahirkan anak Pahang cemerlang akademik khususnya dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seminar yang julung kali dianjurkan itu dihadiri 800 pelajar tingkatan enam dari seluruh daerah khususnya Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh.
Menurutnya, inisiatif yang selari dengan salah satu daripada tujuh teras Aspirasi Pahang 1st iaitu pendidikan dan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu akan diteruskan dan diperluas ke seluruh negeri.
"Melalui inisiatif baharu itu, kita berharap calon STPM di negeri terus cemerlang dan mengulangi pencapaian membanggakan seperti yang dilakar pada 2024.
"Pada STPM 2024, seramai 82 calon STPM di negeri ini memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dan 1,142 calon (55.9 peratus) memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.0," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Wan Rosdy mengakui turut bangga apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut muncul pusat Tingkatan Enam terbaik negeri dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.56 sekali gus terpilih sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Keseluruhan Kebangsaan pada STPM tahun lalu
Jelasnya, prestasi itu membuktikan anak-anak Pahang mampu bersaing di peringkat kebangsaan.
"Saya juga berharap agar lebih ramai menjadikan STPM sebagai laluan ke universiti dan seterusnya kembali menyumbang bakti kepada negeri," ujarnya.
Jelas beliau lagi, Aspirasi Pahang 1st yang dilancarkan 10 Julai lalu satu gagasan besar untuk membawa Pahang ke tahap lebih tinggi, bukan sahaja negeri maju, tetapi negeri yang terpimpin, terpelihara dan sejahtera.
"Salah satu usaha penting ialah penubuhan Akademi Pahang 1st di mana akademi ini bukan sekadar tempat kursus tetapi medan untuk membina jati diri, kepimpinan dan semangat anak-anak Pahang.
"Kita mahu anak-anak Pahang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berkarakter, berintegriti, berdisiplin dan berjiwa pemimpin," katanya.
Tambah beliau,Akademi Pahang 1st menyediakan modul kepimpinan strategik, patriotisme, pemikiran kritis, komunikasi dan diplomasi negeri sebagai wadah melahirkan rakyat Pahang yang sentiasa “first” di dalam semua bidang.