PUTRAJAYA - Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat ke atas semua aktivis, petugas kemanusiaan dan kapal-kapal termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan turut menuntut agar proses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat tanpa halangan.
“Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman, yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza.
“Pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya pada Khamis.
Pada jam 2.03 pagi waktu Malaysia, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.
Kementerian Luar Negeri Israel dalam satu kenyataan telah menuduh konvoi tersebut adalah satu tindakan provokasi dan mengarahkan mereka mengubah haluan.
Israel juga mendakwa mereka mahu menghantar bantuan itu sendiri terus kepada Gaza.
Kenyataan itu menambah Tentera Laut Israel telah menghubungi GSF dan menggesa supaya ia mengubah haluan, dengan memberi amaran bahawa konvoi sedang menghampiri zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan laut yang sah.
Jelas kenyataan itu, Malaysia mengecam dengan tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap Global Sumud Flotilla, yang merupakan satu misi kemanusiaan aman membawa bantuan ke Gaza.
Dalam pada itu Kementerian luar turut meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menghentikan tindakan Israel yang bebas dari sebarang hukuman.
“Ia termasuk juga menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas perbuatan tersebut.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.
“Malaysia kekal teguh menyokong segala usaha murni bagi mencapai penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdi,” katanya lagi.