Shamsudin dilantik Ketua Polis Daerah Petaling Jaya baharu

Iklan
Shamsudin (kanan) dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

PETALING JAYA - Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada Khamis.

Shamsudin menggantikan Senior Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.

Majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, dimulakan dengan menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Shamsudin dan Shahrulnizam.

Iklan

Shazeli berkata, kepimpinan Shahrulnizam telah membawa pelbagai penambahbaikan yang memberi impak positif kepada pentadbiran dan pengoperasian pasukan.

“Kepimpinan beliau bukan sahaja menekankan aspek penguatkuasaan undang-undang, malah turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat.

Iklan

"Selain itu, beliau turut meningkatkan keberkesanan strategi pencegahan jenayah, serta memperkasa integriti dan disiplin warga IPD Petaling Jaya," katanya.

Jelasnya, antara kejayaan yang cukup signifikan di bawah kepimpinan Shahrulnizam ialah kelulusan pembinaan IPD Petaling Jaya baharu di tapak yang sama, yang telah mendapat kelulusan di Parlimen.

“Pencapaian ini amat bermakna kerana ia bakal memperkukuh keupayaan operasi pasukan serta menyediakan kemudahan prasarana yang lebih kondusif untuk warga IPD Petaling Jaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut percaya kepimpinan baharu yang diterajui Shamsudin mampu memperkukuh keberkesanan pasukan di IPD Petaling Jaya.