KUALA LUMPUR - Wanita warga asing disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) sebuah pub di Sri Hartamas di sini dikesan 'berselindung' menggunakan pas pembantu rumah milik mereka.
Kegiatan itu terbongkar menerusi Op Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur kira-kira jam 12.15 tengah malam Khamis.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 39 warga asing dan tiga tempatan ditahan dalam operasi terbabit hasil pemeriksaan 63 individu.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai pengurus premis, wanita Thailand (22 orang) serta wanita Vietnam (9 orang) disyaki GRO selain lapan pekerja lelaki Bangladesh.
"Siasatan awal mendapati sebahagian besar tangkapan melibatkan wanita asing yang menyalahgunakan pas.
“Mereka memegang pas Pembantu Rumah Asing dan sepatutnya mereka bekerja sebagai pembantu rumah asing, tetapi menyalahgunakan pas itu dengan bekerja sebagai gadis pelayan atau peneman pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini.
Wan Mohammed Saupee berkata, GRO terbabit dipercayai menerima tip bermula RM100 ke RM500 berdasarkan penemuan kalungan khas yang memaparkan jumlah berkenaan.
Katanya, serbuan dijalankan hasil risikan pihak selama satu bulan susulan aduan awam berhubung kehadiran sejumlah pekerja warga asing yang menyalahgunakan pas.
"Kesemua tangkapan dibawa ke JIM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c), dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.
Sementara itu wartawan yang mengikuti operasi mendapati pelbagai alasan digunakan wanita terbabit konon bagi mengelak ditahan antaranya datang minum dan mahu berhibur bersama kawan.
Semasa serbuan ada antara mereka cuba melarikan diri selain menyorok di dalam kotak, bawah tangga dan celah-celah dinding, namun tindakan berkenaan dikesan JIM.
End..