BUDI95: Siling 300 liter petrol lebih daripada cukup – Pakar automotif

Iklan
Penetapan siling subsidi petrol bawah inisiatif program BUDI95 tidak membebankan majoriti rakyat apabila statistik semasa mendedahkan 99 peratus pengguna hanya menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.

SHAH ALAM – Penetapan siling subsidi petrol bawah inisiatif program Budi Madani RON95 (BUDI95) terbukti tidak membebankan majoriti rakyat Malaysia apabila statistik semasa mendedahkan 99 peratus pengguna hanya menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan, iaitu bersamaan nilai RM615 pada kadar subsidi RM2.05 seliter sebelum ini.

Hakikat tersebut membuktikan bahawa secara menyeluruh, langkah kerajaan tidak menjejaskan pengguna, sebaliknya lebih bersasar kepada golongan benar-benar memerlukan.

Iklan
Iklan

Dalam masa yang sama, kerajaan tidak pernah mengabaikan kelompok yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan sebagai nadi rezeki.

Atas dasar tersebut, satu mekanisme khas diperkenalkan khusus untuk pemandu e-hailing dan p-hailing yang aktif, membolehkan golongan tersebut memohon permohonan tambahan subsidi bagi memastikan kelangsungan pekerjaan, kestabilan pendapatan serta kesejahteraan hidup mereka terus terjamin.

Iklan

Langkah berkenaan sekali gus mengukuhkan lagi pendekatan bersasar kerajaan dalam mengimbangi keperluan rakyat kebanyakan dengan kelestarian fiskal negara.

Pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata, penggunaan petrol pada kadar siling ditetapkan diakui mencukupi dan realistik seiring dengan corak pemanduan majoriti rakyat Malaysia.

Iklan

HEZERI

Bahkan jelas beliau, siling kelayakan 300 liter lebih daripada cukup dengan memberi fokus urusan harian majoriti pengguna untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja.

“Jumlah liter dan jarak bergantung jenis kenderaan. Kenderaan paling popular ialah yang menggunakan enjin 1.5L ke bawah.

“Contohnya Perodua Myvi (model 2022-2024) mencatatkan kadar penggunaan purata 22 kilometer (km) bagi setiap liter dan boleh mencapai kira-kira 6,600 km dengan 300 liter petrol.

“Manakala Proton Saga model 2022 dengan enjin 1.3 liter menggunakan 6.7 liter bagi setiap 100 km dan boleh mencapai sekitar 4,480 km dengan 300 liter petrol.

“Ambil situasi perjalanan ke tempat kerja Kajang-Kuala Lumpur menggunakan kereta, kira-kira 60 km (pergi dan balik), 20 hari bekerja dalam sebulan, hanya 1,200 km jadi memang lebih daripada cukup.

“Honda Wave 125cc sebagai motosikal kapcai pula jauh lebih jimat, dengan keupayaan bergerak antara 16,500 hingga 18,000 km menggunakan 300 liter petrol,” katanya kepada Sinar Harian.

Mekanisme penggunaan MyKad juga diyakini mampu membendung ketirisan namun memerlukan kawalan dalam mengenal pasti sebarang kelompongan.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican mendedahkan, berdasarkan data semasa, purata penggunaan petrol rakyat Malaysia adalah kurang 150 liter sebulan, manakala 90 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 180 liter.

Dalam pada itu Hezeri berkata, dalam sesetengah keadaaan, penggunaan bahan api pada harga tanpa subsidi tidak boleh dielakkan khususnya bagi pengguna yang kerap melakukan perjalanan dalam jarak jauh.

Bagaimanapun ujar Hezeri, hakikatnya pelaksanaan siling bahan api RON95 mampu mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap penggunaan petrol.

“Apa pun, tiba masanya rakyat dah kena berfikir beberapa kali sebelum memandu. Kalau boleh kedai 100 meter pun nak bawa kereta,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mekanisme BUDI95 menggunakan MyKad, Hezeri menyifatkan ia sebagai kaedah yang bijak dengan turut memanfaatkan teknologi sedia ada.

Kaedah terbaik kawal ketirisan

Kakitangan swasta, Siti Hazirah Abu Bakar, 34 amat menyambut baik pelaksanaan BUDI95 yang disifatkan sebagai kaedah terbaik mengatasi isu ketirisan memandangkan harga petrol di Malaysia lebih murah berbanding negara-negara jiran.

Katanya, siling penggunaan RON95 untuk harga RM1.99 amat mencukupi dan lebih utama hanya rakyat Malaysia yang boleh menikmatinya.

”Saya setuju dengan kaedah pelaksanaan BUDI95 yang menggunakan MyKad serta tetapkan kadar penggunaan.

”Kalau tiada penggunaan petrol harga subsidi, matlamat untuk kawal ketirisan tidak akan tercapai.

”Selama ini subsidi diberikan secara pukal, cara itu memang bagi ruang untuk pihak tertentu ambil kesempatan. Cuma saya harap sistem sentiasa lancar dan mesra pengguna khususnya untuk warga emas,” katanya.

300 liter amat memadai

MUHAMMAD SYAHMI

Bagi penjawat awam, Muhammad Syahmi Ahmad Sidik, 32, sebagai pengguna motosikal dengan jarak 27 km pergi dan balik kerja, siling penggunaan petrol harga subsidi sudah memadai.

“Saya belanja maksimum kira-kira RM200 sebulan dengan kekerapan menunggang motosikal. Kadang-kadang saja saya memandu kereta.

“300 liter untuk seorang, kalau ada pasangan yang ada lesen, kadar penggunaan untuk guna harga subsidi akan berganda. Jadi boleh rancang penggunaan dalam keluarga,” katanya.

SAFIQ

Seorang lagi pengguna motosikal, Muhammad Safiq Mohd Noor, 36 berkata, dia hanya membelanjakan kos untuk petrol sebanyak RM100 sebulan untuk perjalanan pergi dan balik kerja.

”Setiap hari saya pergi balik kerja sejauh 50 km, jadi untuk saya memang cukup. Saya memang setuju dengan penggunaan MyKad sebab memang patut pun letak syarat tersebut, jadi rakyat Malaysia saja boleh guna,” katanya.

FARIDAH

Sementara itu, pekerja swasta, Faridah Mat Rashid, 36 berkata, dia membelanjakan sekitar RM320 sebulan dengan jarak ke tempat kerja 26 km sehala.

Namun dia mengakui faktor kesesakan trafik akan menyebabkan penggunaan petrol lebih dari kebiasaan.