Bot kargo Indonesia bawa bijih timah RM4.5 juta ditahan

Iklan
Bot kargo Indonesia yang berisi bijih timah yang dikumpulkan dalam bungkusan plastik ditahan pada Rabu.

KOTA TINGGI - Sebuah bot kargo Indonesia dengan muatan 26,500 kilogram (kg) bijih timah ditahan pada kedudukan 1.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai, di sini pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohammad Othman berkata, bot kargo asing tersebut ditahan anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jam 4.45 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut Mohammad, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk seorang tekong warga Indonesia berusia 26 hingga 55 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot kargo tersebut membawa 530 guni disyaki bijih timah yang dianggarkan seberat hampir 26,500kg.

Iklan

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan berjumlah RM4.5 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, bot serta bahan muatan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam.

Iklan

Jelasnya, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1963 kerana dokumen pengenalan diri yang meragukan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan di laut boleh menyalurkannya menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili 07-8916591," katanya.