PASIR GUDANG – Tiga individu dilaporkan terkesan akibat pencemaran bahan kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum di sini pada Selasa.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.11 malam.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Rapid Rescue Vehicle (RRV) dengan 13 anggota telah dihantar ke lokasi.
Katanya, tiga individu didapati telah menjadi mangsa pencemaran bau sebaik sahaja bomba tiba di lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai mangsa tidak dapat diperoleh kerana ketiga-tiganya telah dibawa oleh kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), perubatan sebelum bomba tiba.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), kemudiannya melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan menyeluruh di kawasan kilang bagi memastikan tiada lagi risiko pencemaran serta keadaan persekitaran selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sarhan Akmal berkata, seramai tiga anggota bomba bersama-sama seorang juruteknik kilang memasuki kawasan premis untuk pemeriksaan secara berkala dengan dilengkapi Peralatan Pelindung Diri (PPE) penuh, satu unit Gas Mate dan dua unit GFG Gas Detector.
Jelasnya, operasi yang turut dihadiri Pegawai Kanan Hazmat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Tc Saifulbahari Safar itu turut berjaya mengesan gas hidrogen sulfida pada kepekatan 8.9 ppm.
“Anggota bomba turut melaksanakan kerja-kerja ventilasi menggunakan ventilation fan milik kilang serta menjalankan semburan fogging dengan satu aliran salur bantu mula meliputi keluasan 10 x 10 meter persegi. .
"Operasi ditamatkan pada jam 3.37 pagi setelah bacaan udara di kawasan kejadian didapati telah berada pada paras normal," katanya.