Pengarah syarikat didakwa minta suapan RM5 juta

Iklan
Kuhan Arunasalam (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah pada Rabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada seorang individu sebagai dorongan agar Suruhanjaya Sekuriti tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah syarikat amanah dan pengurusan harta.

P Kuhan Arunasalam, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Bangkung, Bangsar dekat sini pada 2 Julai 2024 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Iklan
Iklan

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Kuhan Arunasalam mengaku tidak bersalah dan pegawai pendakwa, Selvam T Armugom menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai, dan dia dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Iklan

Peguam, Wan Shahrizan Wan Ladin tidak membantah jumlah jaminan itu dan memaklumkan bahawa anak guamnya bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon oleh pendakwaan dan menetapkan 6 Nov ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Iklan