Jangan haramkan produk yang telah diluluskan KKM - MRECA

Iklan
Rokok elektronik atau vape telah pun diluluskan KKM sebelum ini. Gambar kecil: Adzwan

KUALA LUMPUR - Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) mempersoalkan cadangan mengharamkan rokok elektronik atau vape sedangkan produk tersebut telahpun diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas menegaskan, KKM telah mengenakan fi pendaftaran produk rokok sebanyak RM5,000 bagi setiap unit simpanan stok (SKU) untuk kelulusan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ini bermakna syarikat dengan pelbagai variasi produk perlu membelanjakan ratusan ribu ringgit hanya untuk memenuhi syarat asas kawal selia yang ditetapkan

“Kenapa perlu ada larangan vape sedangkan produk yang telah melalui syarat kelulusan ketat KKM sudah berada di pasaran? Industri telah mematuhi semua syarat KKM termasuk ujian keselamatan, pendedahan ramuan, kawalan kualiti dan pelabelan yang betul, yang semuanya mengenakan kenaikan kos secara mendadak untuk para industri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Adzwan berkata, tindakan mengharamkan produk vape hanya akan menjejaskan usaha bertahun-tahun serta komitmen kewangan yang telah dicurahkan oleh peniaga sebelum ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa kementeriannya menyasarkan pengharaman penuh vape dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Iklan

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, penetapan garis masa itu dibuat berdasarkan dapatan Jawatankuasa Pakar yang sedang meneliti cadangan berhubung isu berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Sementara itu, Adzwan berkata, larangan menyeluruh itu hanya akan menghukum perniagaan yang mematuhi undang-undang, sedangkan mereka sudah pun melaburkan jutaan ringgit bagi memenuhi piawaian kerajaan.

Beliau turut menekankan bahawa isu sebenar terletak pada penjualan produk haram yang tidak mendapat kelulusan KKM, dan juga sindiket dadah yang telah menyalahgunakan vape sehingga memberi imej begitu buruk.

"MRECA menyeru pihak berkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan sebagainya untuk mempertingkatkan penguatkuasaan.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap pengusaha tidak bertanggungjawab yang mengabaikan undang-undang. Adalah tidak adil seluruh industri terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit hanya kerana perbuatan segelintir pihak,” tegasnya.

Beliau berkata, agensi penguatkuasaan juga perlu mempergiat pemeriksaan, serbuan dan hukuman terhadap penjual haram.

"Larangan bukan sahaja menghukum perniagaan yang patuh malah berisiko meningkatkan aktiviti penyeludupan serta pasaran gelap,” katanya lagi.

Menurut Adzwan, ahli MRECA telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menaik taraf fasiliti, menjalankan ujian makmal, serta mengguna pakai sistem pengesanan bagi menepati peraturan kerajaan.

"Pelaburan besar ini tidak seharusnya diketepikan. Jika larangan dilaksanakan sekarang, pelaburan ini akan lenyap dalam sekelip mata, membawa kepada kerugian kewangan besar, pengurangan pekerjaan, dan kejatuhan sektor terkawal yang telah membuktikan kesediaannya untuk mematuhi undang-undang,” tegas beliau.

Beliau bagaimanapun mengulangi kesediaan MRECA untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pengawal selia bagi meningkatkan piawaian serta penguatkuasaan.

"Penyelesaian kepada masalah bukanlah melalaui pengharaman. Penyelesaian adalah melalui kerjasama, penguatkuasaan dan keadilan.

"Janganlah kita menjejaskan sebuah industri terkawal yang telah membuktikan kesediaannya untuk mematuhi undang-undang dan menyumbang secara bertanggungjawab kepada ekonomi,” katanya.