JASIN - Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari sayur di kawasan kebun sawit di Chabau di sini sejak petang Selasa ditemui pada pagi Rabu.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Hairunizam Meskam berkata, mangsa, Zoiyah Ismail berusia 73 tahun itu ditemui dalam keadaan selamat pada jam 11.07 pagi, kira-kira dua kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Jasin untuk pemeriksaan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.29 tengah hari dan semua jentera serta anggota kembali ke balai,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, mangsa dipercayai keluar rumah sekitar jam 2 petang untuk mencari sayur di kawasan kebun sawit, namun tidak pulang sehingga malam menyebabkan ahli keluarga menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
Hairunizam berkata, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam Selasa, sebelum operasi pencarian disambung semula pada pagi Rabu.
Operasi membabitkan 10 anggota bomba, termasuk pasukan khas STORM, dengan bantuan lima anggota polis.
Radius pencarian meliputi kawasan dua kilometer dari pusat kawalan.
Sementara itu, menurut anak mangsa, Hanisah Saiman, 40, ibunya Zoiyah Ismail atau lebih mesra dengan panggilan ‘Mak Yah’ keluar dari rumahnya sekitar pukul 2 petang namun tidak pulang sehingga malam.
Katanya, menjadi kebiasaan ibunya keluar sendirian untuk mencari sayur kampung seperti jantung pisang dan sayuran lain di kebun sawit berkenaan.
“Tapi semalam dia tak balik-balik. Saya minta jasa orang ramai kampung-kampung berhampiran untuk bantu cari ibu saya. Setakat memang penduduk dari sekitar Chabau dan Simpang Bekoh ada datang membantu,” katanya.