SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim memberikan penghormatan buat Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A Samad Said dengan berkongsi puisi hasil nukilannya yang menggabungkan judul karya tokoh kesusasteraan itu.
Beliau berkata, rangkap pertama puisi berkenaan dikarang pada 2015 ketika Allahyarham yang mesra disapa Pak Samad menyertai DAP manakala empat rangkap selebihnya dihasilkan pada 2017.
“Semoga tenang di sana Bapak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis malam.
Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut memuat naik gambar kenangan bersama arwah menerusi hantaran tersebut.
Antara tajuk karya yang diselitkan dalam puisi lima rangkap itu termasuk Langit Petang, Suara Rasa, Daun Berguguran dan Wira Bukit.
Berikut merupakan puisi yang dikongsikan Steven sebagai penghormatan buat Allahyarham:
Pabila angkuh berlagak pandai,
Pabila ombak melanggar pantai,
Pabila Negara kian tergadai,
Pak Samad menyertai partai.
Bendera Merah di atas Bukit,
Nun di sana seorang petapa,
Tatkala parah seribu prajurit,
Nun di sana seorang pujangga.
Langit Petang beralih masa,
Suara Rasa sunyi menyata,
Pencinta aman kekasih bangsa,
Bersilat dengan kata-kata.
Daun Berguguran panah bersilang,
Wira Bukit beradu kuat,
Filsuf Sartre pernah bilang,
Kata-kata itu pistol bermuat.
Liar di Api, si anak watan,
Berjuang Di atas Padang Sejarah,
Biar di hati sarat harapan,
Berjuang bersama Sang Sastera.
Pada Selasa, negara kehilangan tokoh kesusasteraan tersohor itu yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 91 tahun.
Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital pada petang Isnin akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka diangkat sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985.
Sepanjang kerjaya penulisannya, beliau menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, puisi, drama, cerpen dan esei, sekali gus menjadikannya antara sasterawan paling prolifik negara.
Antara karya terkenal beliau termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie.
Karya Salina turut diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, manakala beberapa karya lain diadaptasi ke pentas teater dan drama.
Sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan turut mendapat pengiktirafan menerusi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Beliau turut menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.
Pemergian tokoh berkenaan merupakan kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air, khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa dan karya sastera Melayu.