KOTA BHARU - Seorang lelaki bergelar 'Datuk John' didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan memiliki minyak masak bersubsidi dalam kuantiti besar tanpa kebenaran sah.
Tertuduh, Ahmad Nizamuddin Setapa, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki minyak masak peket satu kilogram (kg) seberat 7,135kg di sebuah premis di Kampung Nibong, Beris, Bachok pada 22 November 2022, kira-kira jam 4.40 petang.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sekali lagi atas kesalahan sama selepas didapati memiliki minyak masak peket satu kilogram seberat 8,348 kg di hadapan Balai Polis Kota Bharu pada 24 November 2022, kira-kira jam 9.15 malam.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit minyak masak bersubsidi tanpa lesen atau permit yang sah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama iaitu denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri pada awalnya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, hakim menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama, manakala RM7,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Idabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.