Gesa RUU PSB dipinda, elak beban rakyat bawahan – Hassan Karim

Iklan
Hassan Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Kerajaan Madani melakukan beberapa pindaan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) bagi memastikan ia benar-benar berpihak kepada rakyat bawahan.

Beliau berkata, pindaan itu penting supaya kerajaan memperoleh sokongan majoriti di Dewan Rakyat ketika RUU tersebut dibentangkan pada 6 Oktober ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi projek pembangunan semula bandar yang melibatkan perobohan rumah untuk dibina rumah baharu, pemilik mesti diberikan rumah baharu secara percuma tanpa perlu menanggung hutang baharu.

“Ambang persetujuan bagi projek melibatkan perobohan rumah untuk dibangunkan semula juga perlu kekal 100 peratus kerana ketika pemilik membeli rumah dahulu, mereka tertakluk di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] yang menetapkan persetujuan penuh bagi penamatan skim strata.

Iklan

“Undang-undang baharu tidak boleh dipakai secara retrospektif kerana hak milik harta rakyat telah dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Pemakaian undang-undang secara retrospektif bukan Madani tetapi tirani,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hassan menambah, bagi projek pembaharuan semula bandar yang tidak melibatkan perobohan, seperti penjanaan semula bandar dan penyegaran semula bandar, Hassan mencadangkan ambang persetujuan boleh direndahkan kepada 80 peratus.

Iklan

Katanya, ambang persetujuan seharusnya ditentukan berdasarkan jenis projek pembaharuan semula bandar, bukan semata-mata kepada umur bangunan.

Beliau turut menegaskan bahawa RUU PSB perlu menyatakan dengan jelas bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan diguna pakai.

“Isu RUU PSB ini bukan isu kaum, tetapi isu kelas. Ia pertentangan antara rakyat miskin semua kaum dengan kelas kapitalis kaya.

“Penghuni rumah pangsa ialah golongan bawahan berbilang kaum, manakala pemaju projek pembaharuan bandar adalah kelompok kapitalis kaya. Pada ketika ini, RUU PSB lebih memihak kepada golongan kapitalis,” katanya.

Hassan berkata, sekiranya Kerajaan Madani benar-benar mahu berpihak kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah, pindaan seperti yang dicadangkan mesti dilakukan.

“RUU PSB yang ada sekarang tidak dapat dipertahankan hatta oleh ahli parlimen kerajaan sendiri kerana ia serba pincang dari segi undang-undang Perlembagaan dan juga prinsip keadilan yang dijunjung oleh falsafah Madani,” ujarnya.