PUTRAJAYA – Setiap rakyat yang layak kini dapat menikmati penjimatan sehingga RM183 sebulan hasil pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diperkenalkan kerajaan bermula minggu ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tengku Nashrul Tengku Abaidah berkata, pengiraan itu dibuat berdasarkan had kelayakan 300 liter sebulan dengan harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran sebenar RM2.60 seliter.
“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengotakan janji untuk melindungi rakyat dengan memastikan mereka terus menikmati petrol RON95 pada kadar lebih rendah sekali gus meringankan beban kos sara hidup,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di sini pada Selasa.
Beliau berkata, setakat 29 September, hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menggunakan kemudahan tersebut di stesen minyak seluruh negara.
“Sebanyak RM43.7 juta pembelian direkodkan bagi 21.8 juta liter petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95. Ini menunjukkan rakyat menyambut baik pelaksanaannya,” katanya.
Menurut beliau, bermula 30 September, BUDI95 diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang layak, dengan sistem pengesahan MyKad berjalan lancar tanpa gangguan.
Katanya lagi, kerajaan turut mengambil kira keperluan kumpulan tertentu termasuk pemandu e-hailing serta pengendali bot di Sabah dan Sarawak agar mereka tidak tercicir daripada menikmati harga subsidi.
“Kerajaan akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-hailing serta kerajaan negeri bagi memastikan proses ini dapat dilaksanakan dengan tersusun dan menyeluruh,” katanya.
Tengku Nashrul menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI95 menandakan kerajaan Madani serius dalam memastikan subsidi disalurkan secara tepat, saksama dan tidak membebankan kewangan negara.
“Setiap liter membawa seribu makna kepada rakyat Malaysia. Inilah tanda keprihatinan kerajaan agar rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.