Pelaksanaan BUDI95 lancar di 275 stesen minyak di Pahang

Iklan
Chon Siang ketika melakukan tinjauan sempena Program Pemantauan Pelaksanaan Penyasaran Subsidi RON 95 di Stesen Minyak Sekitar Kuantan Bersama KPDN Pahang pada Selasa.

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan Subsidi Petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) di negeri ini selepas inisiatif itu dilaksanakan sepenuhnya pada Selasa.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang berkata, pihaknya tidak menerima aduan atau laporan gangguan daripada 275 stesen minyak yang beroperasi di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua sistem di terminal dan pam berfungsi dengan baik sekali gus membantu pengguna mengisi petrol bersubsidi tanpa masalah.

"Cuma ada beberapa isu atau rungutan ditimbulkan pengguna terutama berkaitan kerisauan untuk menggunakan MyKad untuk mengisi minyak.

Iklan

"Pada masa sama, pengguna juga mungkin masih keliru memandangkan setiap stesen minyak jenama tertentu mungkin sistem digunakan agak berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Program Pemantauan Pelaksanaan Penyasaran Subsidi RON 95 di Stesen Minyak Sekitar Kuantan Bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang pada Selasa.

Iklan

Turut serta Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Chon Siang berkata, hasil pantauan dilakukan, beliau dapati ada pengguna gagal mengisi petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter disebabkan beberapa masalah.

"Ada yang tertinggal MyKad, cip rosak dan ada yang membayar tanpa kemukakan dokumen pengenalan diri itu terlebih dahulu menyebabkan harga tanpa subsidi dikenakan iaitu RM2.60," katanya.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri meminta kerjasama pihak stesen minyak supaya menempatkan pekerja di pam bagi membantu pengguna supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

"Kalau boleh dalam tempoh seminggu ini ada pekerja ditempatkan untuk membantu pengguna yang berdepan masalah termasuk menjelaskan kaedah dan tatacara pengisian petrol bersubsidi BUDI95," katanya.