Fibrosis pulmonari progresif bahaya senyap, diagnosis awal penyelamat nyawa

Iklan
Dr Syazatul (kiri) bersama Dr Nurhayati hadir sempena Majlis Perasmian Kempen Kesihatan Paru-Paru anjuran PPPIPR dan IPR Kuala Lumpur dengan sokongan Boehringer Ingelheim.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kesedaran tentang gejala awal dan diagnosis tepat amat penting bagi membantu meningkatkan hasil rawatan pesakit, khususnya mereka yang menghidap fibrosis pulmonari progresif (PPF).

PPF merupakan penyakit paru-paru progresif yang dicirikan dengan parut dan penebalan tisu paru-paru sehingga menyukarkan pernafasan serta menghalang oksigen daripada masuk ke dalam aliran darah.

Iklan
Iklan

Antara jenis PPF paling biasa ialah fibrosis pulmonari idiopatik (IPF) yang puncanya tidak diketahui dengan kadar jangka hayat purata hanya tiga hingga lima tahun selepas diagnosis.

Menurut Ketua Jabatan Perubatan Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dr Jamal Malik, IPF dan PPF merupakan penyakit paru-paru yang boleh meragut nyawa.

Iklan

“Ia memberi beban besar kepada pesakit dan penjaga apabila semakin teruk. Parut progresif atau fibrosis pada paru-paru kebiasaannya menyebabkan gejala seperti batuk kering, sesak nafas, keletihan dan penurunan fungsi paru-paru dengan cepat.

“Memandangkan tiada penawar setakat ini, jadi kesedaran dan diagnosis awal amat penting,” katanya.

Iklan

Dianggarkan sehingga 3.6 juta orang di seluruh dunia mungkin terjejas akibat IPF manakala di Malaysia, sebanyak 124 kes IPF dilaporkan di tiga pusat antara 2017 hingga September 2020.

Daripada jumlah itu, seramai 35.5 peratus pesakit mengalami IPF tahap serius sekali gus menyebabkan prognosis semakin buruk.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Respiratori IPR, Dr Syazatul Syakirin Sirol Aflah berkata, PPF secara umum kurang diberi perhatian di Malaysia.

Dr Nurhayati (kanan) bersama Ketua TA Franchise Specialty Care, Boehringer Ingelheim (Malaysia, Singapura dan Indonesia), Evelyn Lam (kiri) melepaskan peserta untuk aktiviti walkathon.

“Beberapa bentuk PPF wujud termasuk IPF iaitu keadaan parut progresif pada paru-paru dan pneumonitis hipersensitiviti yang mana PPF berkaitan penyakit tisu penyambung serta lain-lain.

“Gejala seperti batuk kering berterusan dan sesak nafas sering disalah anggap sebagai penyakit lain sehingga menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan diagnosis,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Syazatul berkata, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap yang mengancam nyawa.

“Jadi, dengan meningkatkan kesedaran mengenai PPF, kita berharap dapat menggalakkan pengesanan awal dan diagnosis yang lebih tepat pada masanya,” sarannya.

Beliau berkata demikian sempena penganjuran Kempen Kesihatan Paru-Paru anjuran Pertubuhan Perubatan Pascasiswazah Institut Perubatan Respiratori (PPPIPR) dan Institut Perubatan Respiratori (IPR) baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah IPR Kuala Lumpur, Dr Nurhayati Mohd Marzuki.

Penganjuran julung kali sempena sambutan Hari Paru-Paru Sedunia dan Bulan Kesedaran Fibrosis Pulmonari 2025 itu disertai seramai 226 peserta di Taman Rekreasi Pudu Ulu, Cheras, Selangor.

Antara pengisian menarik seperti berjalan kaki sejauh 3 kilometer untuk orang awam dan 500 meter untuk pesakit selain pelbagai aktiviti interaktif bagi meningkatkan kesedaran tentang PF.

Program tersebut turut menampilkan pelbagai gerai kesihatan dan pendidikan seperti saringan spirometri bagi mengukur prestasi paru-paru, sokongan berhenti merokok, fisioterapi, nasihat pemakanan serta maklumat mengenai pendermaan organ dan ubat-ubatan.