SHAH ALAM - Scorpion Tact Services bakal menganjurkan Human Performance & Integrity Congress (HuPIC) 2025 buat pertama kali pada 8 hingga 9 Oktober depan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dengan sasaran menjadi platform ilmu keselamatan dan integriti bertaraf antarabangsa.
Koodinator Program, Sharifah Nur Zulaikha Syed Aqil berkata, antara 100 hingga 250 peserta daripada pelbagai sektor tempatan dan antarabangsa disasarkan menyertai acara itu.
Menurutnya, penyertaan terbuka kepada semua peserta termasuk profesional kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), saintis tingkah laku, ahli psikologi, penilai risiko, pengurus operasi, pegawai sumber manusia dan undang-undang, pakar kesihatan serta pemimpin perniagaan.
"Bertemakan budaya kepimpinan, HuPIC 2025 bukan sekadar menekankan pematuhan teknikal, sebaliknya memberi fokus kepada faktor manusia, tingkah laku dan budaya organisasi membentuk keberkesanan operasi.
"Kongres itu memberi penekanan kepada integriti dan akauntabiliti organisasi selain memperkukuh sistem prestasi insan yang memberi kesan langsung terhadap keberkesanan operasi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sharifah Nur Zulaikha berkata, penganjuran itu dilihat mampu memperkasakan peserta dengan kemahiran, strategi dan keyakinan membuat keputusan tepat, sekali gus meningkatkan kecemerlangan operasi serta mewujudkan perubahan positif berkekalan dalam organisasi.
Lebih menarik, beliau menambah, HuPIC menampilkan barisan penceramah ternama termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang akan menyampaikan ucaptama mengenai kepimpinan berintegriti.
"Turut serta, pakar keselamatan global dari Australia, David G Broadbent serta konsultan terkenal dari Singapura, Soon Boon Chew yang akan mengupas topik berkaitan," ujarnya lagi.
Menurutnya, kongres terbabit menampilkan barisan penceramah daripada pelbagai bidang bagi memastikan peserta mendapat pandangan menyeluruh daripada perspektif berbeza.
"HuPIC 2025 melakar sejarah sebagai kongres pertama seumpamanya di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada prestasi insan dan integriti dalam bidang HSE," ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan, kongres itu menjadi perintis pendekatan baharu dengan memberi tumpuan kepada aspek manusia, tingkah laku dan budaya yang membentuk hasil keselamatan serta kecemerlangan organisasi, sekali gus berbeza dengan persidangan HSE lain yang lebih menekankan aspek teknikal dan piawaian.
"Untuk penyertaan, individu berminat boleh menyertai HuPIC berdasarkan beberapa pilihan iaitu bayaran RM1,000 bagi dua hari (bayaran terus), RM1,100 untuk dua hari (boleh tuntut HRD Corp) ataupun RM1,500 (boleh tuntut HRD Corp) untuk tiga hari termasuk 'pre-event workshop' dikendalikan David," katanya.
Menurutnya, David merupakan ahli psikologi keselamatan terkenal antarabangsa dan penceramah mengenai budaya keselamatan, sekali gus peluang menyertai pre-event workshop diadakan sehari sebelum kongres itu perlu direbut orang ramai.
Dalam pada itu, penganjuran terbabit dilihat meletakkan Malaysia di hadapan dalam memajukan amalan HSE bersepadu dengan kepimpinan, etika dan prestasi mampan.