KLANG – Seramai 119 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Unjur, di sini diberi pendedahan awal berkaitan bahaya rasuah menerusi Program Wira Anti Rasuah (WAR) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Duopharma Biotech Berhad pada Isnin.
Program yang dilaksanakan melalui inisiatif pengecualian cukai itu bertujuan menanam nilai integriti, menyemai etika serta menolak amalan rasuah sejak di bangku sekolah.
Ketua Seksyen Kokurikulum, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Haslinda Hamzah berkata, usaha itu merupakan kali kedua dilaksanakan di bawah Seksyen Sekolah dengan pendekatan pengecualian cukai.
"Pendedahan ini penting kerana kita mahu generasi muda faham bahawa rasuah memberi kesan besar kepada masyarakat dan negara.
"Nilai murni serta etika yang diterapkan seawal usia boleh membentuk persekitaran bebas rasuah pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Program dimulakan dengan ceramah bertajuk Kami Wira Antirasuah oleh Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PKPs Syahriman Yahya.
Ia turut disusuli dengan aktiviti interaktif, kuiz dan kemunculan maskot Kapten MACC yang berjaya menarik minat murid.
Selain fokus kepada murid, program itu juga menekankan aspek kefahaman dalam kalangan guru, wakil sektor swasta dan pegawai pendidikan daerah melalui ceramah bertajuk Kesalahan Utama Rasuah.
Untuk rekod, sejak lebih 11 tahun diperkenalkan, sebanyak 269 program WAR telah dijalankan di seluruh negara sehingga 30 Ogos lalu, melibatkan penyertaan seramai 81,273 murid.
Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Muhammad Saadan Mat Daris serta Guru Besar SK Batu Unjur, Badariah Mahfods.