SHAH ALAM - Rakyat Malaysia akan menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter secara automatik tanpa perlu melalui proses pendaftaran manual bermula hari ini.
Caranya juga cukup mudah, pengguna hanya perlu menggunakan MyKad sama ada di pam petrol, kaunter atau secara digital melalui aplikasi syarikat minyak serta e-dompet Touch n Go (TNG).
Dengan hanya dua syarat iaitu memiliki MyKad yang berfungsi dan lesen memandu yang masih aktif, rakyat sudah boleh menikmati manfaat subsidi bersasar ini.
Setiap transaksi akan turut disertakan dengan resit yang memaparkan butiran pembelian, sekali gus memberi ketelusan kepada pengguna dalam mengurus corak penggunaan petrol mereka.
Bagi memudahkan urusan semakan, kerajaan turut menyediakan portal khas di www.budimadani.gov.my bagi membolehkan rakyat menyemak profil kelayakan masing-masing serta baki penggunaan bulanan.
Langkah ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, tetapi juga menandakan satu pembaharuan dalam sistem pengurusan subsidi bahan api negara yang lebih moden, telus dan mesra pengguna.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong objektif rasionalisasi subsidi petrol melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95) kerana ia memastikan bantuan hanya sampai kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak.
Ketua Pegawai Operasinya, Nur Asyikin Aminuddin berkata, pelak sanaannya perlu teliti, berperingkat dan disertai komunikasi jelas agar rakyat tidak keliru.
“Antara kelebihan yang dapat dirasai pengguna termasuklah kawalan ketirisan lebih berkesan kerana subsidi tidak lagi dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi atau warga asing.
“Pada masa sama, cadangan siling kelayakan bulanan seperti 300 liter, memberi fl eksibiliti kepada pengguna untuk mengisi petrol pada bila-bila masa tanpa rasa terikat. Data transaksi juga boleh dipantau untuk mengesan penyelewengan, menjadikan sistem lebih telus.
“Selain itu, pengguna boleh mengurus bajet dengan lebih baik kerana apabila jumlah yang layak habis, petrol masih boleh dibeli pada harga pasaran. Keadaan ini mendidik kita merancang corak penggunaan dengan lebih bijak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Subsidi petrol RON95 disasarkan kepada warga negara Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif.
Siling kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter.
Penggunaan melebihi siling kelayakan akan dikenakan harga pasaran semasa, manakala pemandu e-hailing boleh memohon tambahan siling kelayakan menerusi portal sama.
Tambah Nur Asyikin, BUDI95 tidak mempunyai tarikh luput sebaliknya beroperasi berdasarkan siling kelayakan bulanan.
“Kebelakangan ini, ada pengguna yang berpusu pusu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana bimbang cip MyKad mereka rosak dan tidak boleh digunakan untuk tebus subsidi.
“Hakikatnya, tidak perlu panik. Bagi mereka yang sudah berjaya menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini, ia membuktikan cip MyKad masih berfungsi dengan baik.
“Cuma, FOMCA berharap mesin pembaca cip di stesen minyak sentiasa berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan masalah teknikal. Pengalaman gangguan sistem penebusan SARA sebelum ini wajar dijadikan pengajaran supaya semua pihak lebih bersedia demi kelancaran pengguna,” katanya.
Ujarnya, kerajaan telah memberi kemudahan dengan mengekalkan harga petrol pada RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar, kini tiba pula giliran rakyat untuk memainkan peranan.
Jelasnya, rakyat sebagai pengguna jangan sesekali meminjamkan MyKad kepada warga asing atau individu tidak layak kerana tindakan itu bukan sahaja salah guna subsidi, malah boleh dianggap pengkhianatan kepada negara.
“Penyelewengan subsidi mesti dielakkan kerana ia adalah hak rakyat Malaysia, bukan untuk dimanipulasi oleh sindiket. “Pada masa yang sama, masyarakat perlu menyokong kempen kesedaran tentang risiko undang-undang jika berlaku penipuan.
“Subsidi ini juga wajar digunakan secara berhemah, dengan merancang perjalanan, mengelakkan pembaziran dan menjadi pengguna yang bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya lagi, BUDI95 bukan sekadar soal harga petrol murah, malah ia merupakan langkah reformasi subsidi untuk memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan.
“Sebagai pengguna, kita harus menerima program ini dengan sikap positif, berhemah dalam menggunakan manfaat yang diberi dan sama-sama menjaga integriti sistem.
“Jika semua pihak bekerjasama, bukan sahaja rakyat yang untung, tetapi juga masa depan ekonomi negara dapat diperkukuh,” ujarnya.
Pengalaman jadi pengajaran
Sementara itu, pekerja swasta yang mahu dikenali Mohd Razin mengakui dirinya juga terikut-ikut panik dan mengambil peluang menyerbu pejabat JPN selepas pengumuman keperluan menukar cip MyKad rosak supaya tidak tercicir daripada menikmati petrol pada harga RM1.99 seliter.
Menurutnya, suasana di kaunter JPN pada minggu lalu memang luar biasa, ramai orang berpusu-pusu menunggu giliran semata-mata mahu memastikan cip MyKad mereka dalam keadaan baik.
“Saya juga panik dan takut sekiranya MyKad tidak boleh digunakan apabila nak isi minyak. Saya terus mengambil cuti sehari dan pergi ke JPN untuk menukar cip.
“Orang ramai, saya menunggu beberapa jam,” katanya.
Mohd Razin berkata, walaupun mendapat tahu bahawa mereka yang pernah berjaya menebus bantuan SARA sebelum ini sebenarnya tidak perlu risau, rasa bimbang tetap menghantui.
Katanya, lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga daripada menyesal kemudian hari.
“Apabila fi kir balik, memang kerajaan dah jelaskan kalau MyKad masih boleh digunakan untuk tebus SARA, maknanya cip tak ada masalah. Tapi biasalah, apabila tengok orang lain panik, kita pun jadi panik sama,” ujarnya.
Tambahnya, pengalaman itu menjadi pengajaran bahawa rakyat perlu mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu sebelum bertindak.
“Sekarang saya rasa lega sebab MyKad dah confirm boleh pakai. Selepas ini, saya nak gunakan BUDI95 dengan sebaiknya. Harga RM1.99 ini satu rezeki, tapi kita sebagai rakyat pun kena bertanggungjawab supaya subsidi ini tak disalahgunakan,” katanya.
Menurut Nur Aliya Hamid, 34, dia teruja untuk menebus BUDI95 setelah kerajaan mengumumkan pelbagai mekanisme pembayaran dan bukan bergantung pada penggunaan MyKad fizikal semata-mata.
Ujarnya, melalui aplikasi yang telah disediakan syarikat minyak seperti Setel dan Shell App sangat membantu orang ramai menikmati subsidi itu dengan lebih mudah dan cepat.
“Ia sangat mudah. Saya tidak perlu bimbang dengan keadaan orang ramai menyerbu stesen minyak dan sistem semakan Mykad akan tergendala,” katanya.
Pelaksanaan BUDI95 yang menggunakan MyKad sebagai medium pengesahan layak dijangka akan mengubah cara rakyat berurusan dengan petrol bersubsidi.