SPRM tahan lima peneroka termasuk pekerja kebun durian haram

Iklan
Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa untuk mendapatkan perintah reman.

KUANTAN- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang durian kerana disyaki mengusahakan kebun tanaman durian serta terlibat dalam amalan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, suspek yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 60-an itu didakwa memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang hasil daripada aktiviti tanaman pokok durian di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di negeri ini.

Iklan
Iklan

Katanya, semua suspek ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Raub.

"Mereka yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa untuk mendapatkan perintah reman," ujar sumber itu lagi.

Iklan

Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi membenarkan reman selama empat hari sehingga 3 Oktober terhadap kesemua suspek selepas permohonan dibuat oleh SPRM di mahkamah berkenaan.

Sumber menjelaskan, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2024 hingga 2025 dan memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram itu sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Iklan

"Kesemua suspek, empat daripadanya merupakan pekebun, dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun-temurun dan didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd, iaitu syarikat yang telah dilantik sebagai pemegang pajakan tanah sah oleh kerajaan negeri Pahang,” katanya.

Rentetan daripada Op Sekat Durian Haram yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pahang bermula 25 April 2024, SPRM Pahang telah melaksanakan operasi secara bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dari 2 hingga 19 September lalu dalam usaha mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan Tanah Kerajaan dan Hutan Simpan Kekal.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.