Pesalah trafik liat, tidak bayar saman tertunggak 15 tahun lepas - JPJ

Iklan
Muhammad Kifli (tengah) melihat motosikal yang disita kerana tiada cukai jalan dalam Operasi Khas Gempur JPJ di Akademi JPJ Wilayah Timur, di Kota Bharu pada Isnin.

KOTA BHARU - Masih ada pesalah trafik yang liat membayar saman tertunggak hingga tempoh 15 tahun lepas, walaupun kerajaan menawarkan kadar rata RM150 sejak awal tahun ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sehingga kini hampir dua juta notis saman masih belum diselesaikan membabitkan tiga kategori utama iaitu memandu melebihi had laju yang dikesan melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) sebanyak 1.45 juta saman, Notis Temu Siasat 114 (296,684) dan Notis Saman Tampal 115 (164,598).

Iklan
Iklan

Menurutnya, saman tertunggak itu juga melibatkan kesalahan kamera AWAS di lokasi panas utama Terowong Menora, Perak yang mencatat lebih 3,000 saman sehari ketika musim cuti dan perayaan.

“Kesalahan paling lama yang masih ada tunggakan adalah sejak tahun 2010, khususnya bagi notis 114 dan 115.

Iklan

“Kami dapat kesan alamat tempat tinggal pesalah tetapi mereka ini tetap tidak ada kesedaran untuk membayar saman,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Khas Gempur JPJ di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini pada Isnin.

Menurutnya, sejak tawaran khas diperkenalkan bermula 1 Januari lalu, sebanyak 855,300 saman tertunggak diselesaikan pesalah trafik.

Iklan

Tegasnya, tawaran tersebut sah sehingga 31 Disember ini sahaja, selepas tempoh itu, pesalah akan dikenakan kompaun asal RM300, pemotongan mata demerit melalui Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan disenarai hitam sehingga bayaran dibuat.

“Kerajaan memberi peluang bayar dengan diskaun, malah dikecualikan daripada pemotongan mata Kejara, jadi segeralah selesaikan saman tertunggak,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa Selangor, Perak dan Johor merupakan negeri yang merekodkan jumlah saman AWAS tertinggi, sejajar dengan jumlah kamera penguatkuasaan yang dipasang di lokasi strategik.

Setakat ini, terdapat 49 kamera AWAS aktif di seluruh negara yang berfungsi mengesan kesalahan had laju dan lampu isyarat.

Dalam perkembangan lain, JPJ terus memperhebat pelaksanaan Ops Khas Gempur Perdagangan di seluruh negara sejak 1 September lalu sehingga 31 Disember ini dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan.

“Setakat 29 September, sebanyak 544,403 kenderaan diperiksa dengan 50,629 kenderaan diambil tindakan, termasuk 1,060 disita manakala 124,700 notis saman dikeluarkan.

“Antara kesalahan tertinggi melibatkan tiada Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan kenderaan tiada insurans,” katanya.