Potensi ekonomi kreatif di utara Selangor

Iklan
SABDA bukan sekadar projek pembangunan, ia gabungan agro-pelancongan, seni dan budaya yang menyuntik semangat kreatif atau juga dikenali sebagai ekonomi jingga kepada komuniti

SABAK Bernam, daerah di utara Selangor yang dahulu sinonim dengan sawah padi dan kampung nelayan, kini mula bernafas dengan warna baharu.

Sejak Rancangan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dilancar pada 2023, namanya semakin kerap meniti di bibir pelancong dan penggiat seni tempatan.

Iklan
Iklan

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail memaklumkan, SABDA bukan sekadar projek pembangunan. Ia gabungan agro-pelancongan, seni dan budaya yang menyuntik semangat kreatif atau juga dikenali sebagai ekonomi jingga kepada komuniti.

“SABDA ini secara automatik akan menggerakkan ekonomi jingga kerana ia berteraskan kreativiti dan warisan tempatan.

Iklan

“Ramai anak muda sudah mula bergerak, jual kraftangan, makanan dan rumah inap. Semua ini membuka peluang ekonomi kreatif yang berimpak tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Antara tarikan utama ialah pasar terapung pertama di Selangor berhampiran Pantai Bumi Hijau. Bayangkan deretan sampan sarat dengan makanan tradisi, kraf tangan kampung dan muzik alam semula jadi.

Iklan

“Pasar terapung ini memberi pengalaman budaya yang berbeza kepada pelancong dan membuka peluang kepada usahawan tempatan,” jelas Rizam.

Ia bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi pentas kecil untuk bakat belia, daripada pemain kompang hinggalah pembuat wau tradisional.

Sabak Bernam memiliki 79 kampung tradisi. Di sinilah seni Melayu Jawa, Bugis dan Banjar terus bernafas. Silat, kompang, gasing dan wau bukan pameran muzium, tetapi persembahan hidup yang memikat pelancong.

Rumah inap desa pula sentiasa penuh setiap hujung minggu. Pelancong datang bukan sekadar tidur di kampung, tetapi menyelami budaya masyarakat setempat.

“Pembangunan ini beri pilihan kepada anak muda. Mereka boleh kekal di kampung, menjaga warisan, sambil jana pendapatan,” kata Rizam.

SABDA meliputi 1,317 hektar tanah dengan enam projek utama. Matlamatnya, mencipta 3,600 pekerjaan berpendapatan tinggi yang berpaksikan kreativiti.

Gabungan pertanian, pelancongan dan seni ini diharap mengekalkan ekosistem desa tanpa mengorbankan identiti.

Usaha Sabak Bernam seiring dengan agenda besar Selangor yang mahu melonjak sumbangan ekonomi kreatif negeri daripada RM2 bilion kepada RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menekankan keperluan dasar kreatif yang jelas untuk mengangkat industri ke tahap global, mencontohi kejayaan Korea Selatan membina ekosistem budaya kukuh.

Perancangan ini diperincikan dalam Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 23 dan 24 September.

Majlis perasmian disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi menegaskan Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor akan dilancar pada November depan sebagai hala tuju 10 tahun.

Program melibatkan 500 pemain industri itu mengetengahkan enam pemangkin utama termasuk pembangunan bakat, akses pasaran dan pembiayaan.

“Pelan ini bukan sekadar dana, tetapi memandu industri kreatif secara menyeluruh dan jangka panjang,” katanya.