Dadah RM1.78 juta boleh digunakan 50,000 penagih dirampas

Iklan
Pelbagai peralatan memproses dadah dirampas daripada suspek.

GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM1.78 juta dalam dua serbuan berasingan di bandar ini dan Jelutong.

Kedua-dua suspek ditahan dalam satu operasi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang dari jam 9 malam 28 September hingga jam 8 pagi keesokan harinya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan pertama di sebuah parkir kenderaan di bandar ini, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun.

Menurutnya, dalam tangkapan itu polis merampas lima peket plastik biru muda berisi serbuk disyaki methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 129 gram.

Iklan

“Serbuan susulan di sebuah premis di kawasan Jelutong membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 50 tahun.

"Suspek kedua juga merupakan ahli sindiket dan berperanan sebagai ahli kimia. Pemeriksaan lanjut menemui rampasan dadah dan peralatan memproses MDMA,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah beliau, antara rampasan dalam serbuan kedua ialah 146 peket plastik berwarna hijau, putih dan biru muda berisi serbuk disyaki MDMA anggaran berat 3,787 gram.

"Selain itu, kita juga merampas empat botol plastik berpenutup berisi serbuk disyaki MDMA anggaran berat 6,217 gram, 10 papan aluminium foil mengandungi 100 biji pil disyaki Erimin 5 anggaran berat 26.40 gram.

"Kita turut menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki ketamin anggaran berat 12.83 gram, tiga peket plastik lutsinar berisi 75 biji pil disyaki ekstasi anggaran berat 41.59 gram dan beberapa peralatan untuk memproses serbuk MDMA," katanya.

Menurut beliau, risikan polis mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal bulan ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mampu digunakan 50,000 penagih dadah sekiranya terlepas ke pasaran.

“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin selain mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah.

"Kedua-dua mereka kini direman tujuh hari bermula Isnin hingga 5 Oktober 2025 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Azizee berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton X50 bernilai RM82,000.

“Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM1.78 juta.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan rotan jika sabit kesalahan," katanya.