YAPEIM, MAIWP sumbang RM550,000 kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan

Iklan
Sultan Mizan (lima dari kiri) berkenan menyaksikan majlis menandatangani MoU antara YAPEIM dan YDSM bagi kerjasama strategik dalam pelbagai program pembangunan termasuk Program Sinar Lestari YAPEIM.

SHAH ALAM - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyerahkan sumbangan berjumlah RM550,000 kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dalam satu majlis rasmi di ibu kota pada Ahad.

YAPEIM dalam satu kenyataan berkata, sumbangan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu bagi pelaksanaan program pembangunan komuniti dan kemasyarakatan di Terengganu.

Iklan
Iklan

“Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan komuniti setempat melalui jaringan kerjasama antara rakan strategik.

“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi YDSM turut berangkat hadir ke majlis dan berkenan meluangkan masa hampir setengah jam.

Iklan

“Baginda turut mendengar serta berbincang mengenai perancangan kerjasama yang akan dilaksanakan khususnya kepada masyarakat negeri Terengganu,” katanya.

Sultan Mizan juga berkenan menyaksikan penyerahan cek cura yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim dan Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan.

Pada masa sama, baginda berkenan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YAPEIM dan YDSM bagi kerjasama strategik dalam pembangunan rumah bantuan Program Sinar Lestari YAPEIM, keusahawanan, kemasyarakatan dan pendidikan.

Abdul Khudus bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Profesor Datuk Dr Saadiah Mohamad mewakili YAPEIM manakala YDSM diwakil Mohd Fadzli dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Azizulrahim Ahmad Zambri.

Objektif MoU tersebut bagi menjalinkan kerjasama untuk membina jaringan dan platform strategik demi manfaat kumpulan sasar, selain meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar.