Global Sumud Flotilla: Kapal Johnny M alami kebocoran enjin, peserta selamat

Iklan
Hantaran terkini PU Rahmat memaklumkan keadaan kapal Johnny M.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Semua peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menaiki sebuah kapal bernama Johnny M disahkan selamat selepas ia terpaksa dikosongkan akibat kebocoran enjin.

Perkembangan terkini terbabit dikongsikan salah seorang peserta misi, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kata beliau, insiden itu tidak menghalang peserta misi kemanusiaan terlibat untuk berlayar menuju destinasi yang dirancang.

"Sebuah bot bernama Johnny M terpaksa dikosongkan kerana kebocoran enjin. Semua peserta selamat dan kita akan segera berlayar semula menuju ke Gaza," katanya.

Iklan

Rahmat menambah, ada rakyat Malaysia yang berada atas kapal yang mengalami kebocoran enjin itu, bagaimanapun mereka dalam keadaan selamat.

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia supaya tidak risau berlebihan dengan situasi itu, sebaliknya  kekal 'sumud' yang membawa maksud keteguhan dan ketabahan.

Iklan

Seorang lagi peserta, Rusydi Ramli turut mengesahkan situasi sama dan memaklumkan armada telah berhenti seketika selepas kapal Johnny M mengalami kebocoran di bilik enjin.

Dalam perkongsian itu, beliau memaklumkan, keadaan tersebut tidak dapat diselesaikan di laut dan kapal tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan.

"Semua peserta telah dipindahkan dengan selamat ke kapal lain, sebahagian akan ditempatkan semula ke bot lain manakala selebihnya akan dibawa ke darat.

"Kami amat berterima kasih kepada Bulan Sabit Merah dengan kerjasama kerajaan Turkiye kerana memudahkan kepulangan selamat para peserta dan menyampaikan bantuan kemanusiaan tambahan kepada armada," tambahnya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyatakan perkara itu tidak akan menyebabkan kelewatan besar kepada misi, yang dijangka tiba seawal empat hari lagi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza kini mengambil masa kurang enam jam untuk sampai ke zon kuning.

Berdasarkan tinjauan 'Sumud Nusantara Flotilla Tracker' yang dibangunkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), kedudukan terkini konvoi tersebut dilaporkan semakin hampir iaitu berada kira-kira 300 batu nautika daripada zon berkenaan.

Sebanyak 47 bot menyertai misi berkenaan yang mana bot memulakan pelayaran dari Barcelona berada di barisan hadapan.

Bagaimanapun, beberapa bot lain yang bermula dari tempat berbeza seperti Tunisia dan Greece bergerak rapat menuju ke ' zon kuning'.