Kakitangan JKR jatuh bot ketika memancing ditemukan lemas

Iklan
Mayat mangsa diangkat ke atas bot untuk dibawa naik ke tebing sebelum dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat. Foto: Polis Rompin

ROMPIN- Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang yang hilang selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Kampung Kedaik Lama, Muadzam Shah, di sini ditemukan lemas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat Saharudin Harun, 44, ditemukan orang awam yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 11.25 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lokasi penemuan mayat mangsa hanya 200 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

Iklan

"Susulan penemuan mayat mangsa, operasi SAR hari kedua melibatkan 28 anggota terdiri polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ditamatkan," katanya.

Mangsa yang bertugas sebagai Pembantu Mekanikal JKR Kuantan dilaporkan terjatuh dari bot ketika keluar memancing bersama seorang rakannya berhampiran rumah rakit di Sungai Kedaik.

Iklan

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah rakit di mana kipas bot dinaiki dipercayai tersangkut pada pukat.

Insiden itu menyebabkan mangsa yang berada di bahagian depan bot tercampak terjatuh ke sungai dan hanyut dibawa arus.