Tiga novel baharu diperkenal

Iklan
Mysarah menunjukkan tiga novel terbaharu Buku Karangkraf yang diperkenalkan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang berlangsung di Kompleks Karangkraf sehingga 5 Oktober ini.

SHAH ALAM - Buku Karangkraf memperkenalkan tiga lagi naskhah terbaharu iaitu Apa Itu Pulang, Suhaila dan Impuls Polaris sempena Jualan Gudang Karangkraf 2025.

Eksekutif Pemasarannya, Mysarah Razlin berkata, penghasilan ketiga-tiga novel berkenaan mengambil masa kira-kira lima bulan dari tarikh perbincangan, penyuntingan manuskrip sehingga ke fasa penerbitan untuk dipasarkan secara rasmi menerusi jualan gudang yang diadakan dua kali setahun itu.

Iklan
Iklan

Menurut Mysarah, Apa Itu Pulang ialah novel cinta karya Rey Amane yang juga merupakan debut kali pertama penulis itu dengan Buku Karangkraf, manakala Suhaila nukilan Saiful Amin bergenre seram dan Impuls Polaris oleh Fitri Hussin pula campuran kisah thriller romantik di bawah terbitan Buku Prima.

“Bagi novel Apa Itu Pulang dan Impuls Polaris, harga asal ialah RM32 tetapi untuk ahli VIP Karangkraf hanya RM25.60, manakala Suhaila hanya RM28. Harga asal ialah RM35.

Iklan

“Ketiga-tiga naskhah dijual dengan potongan harga RM7. Penggemar novel cinta, seram dan thriller romantik memang digalakkan untuk membeli buku ini untuk dijadikan koleksi.

“Oleh itu, saya mengajak semua penggemar genre buku terbaharu ini untuk datang ke Jualan Gudang Karangkraf dan turut dapatkan pelbagai lagi novel lain serta buku pada harga yang cukup istimewa,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Jualan Gudang Karangkraf 2025 berlangsung selama 10 hari bermula 26 September hingga 5 Oktober ini dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Lebih 1,000 judul bahan bacaan termasuk naskhah al-Quran ditawarkan kepada peminat buku tempatan dan penganjur turut memberikan potongan harga antara 20 sehingga 80 peratus.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan buat pengunjung khususnya kanak-kanak, antaranya pertandingan mewarna dan teka silang kata bergambar.

Selain itu, penganjur mengadakan sesi temu mesra bersama penulis buku dan pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM2,500 dengan minimum pembelian RM80 bagi produk-produk Karangkraf.