SEKARANG ini, Merak tengok orang ramai tengah syok sangat dengan AI. Semua benda nak AI — buat kerja pejabat, karangan sekolah, malah nak cari jodoh pun ada yang harap AI. Katanya, mudah, cepat, future of the world.
Merak lihat sejak kebelakangan ini ramai saja yang ghairah mengguna mempelajari dan meneroka teknologi. Ada yang serius untuk buat kerja, apa yang jadikan hobi dan ada yang suka-suka ikut trend.
Tapi dalam keseronokan kita itu, jangan lupa ada makhluk lain yang tak kurang ghairahnya: Penjenayah siber. Mereka ini lagi kreatif, sebab otak jenayah memang tak pernah tidur.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pendedahan bagaimana teknologi deepfake digunakan untuk menghasilkan video palsu berunsur seks.
Bayangkan, wajah pemimpin negara ‘ditampal’ dalam video tak senonoh, kemudian dijadikan bahan ugutan.
Senang-senang reputasi boleh hancur, maruah boleh tergadai. Yang menakutkan, teknik sebegini makin realistik sampai susah nak bezakan yang asli dengan yang palsu.
Kalau orang politik pun boleh jadi mangsa, apa lagi kita rakyat biasa? Jangan pelik kalau nanti muncul video ‘anda’ buat benda tak senonoh, padahal masa tu anda tengah bersenamrobik di taman.
Habis semua pakcik, makcik, jiran-jiran percaya bulat-bulat sebab nampak ‘real'. Itulah bahayanya bila teknologi dipacu tanpa kawalan, ditambah pula dengan masyarakat yang suka telan bulat-bulat apa yang lalu di media sosial.
Nasihat Merak, seronoklah nak guna AI, tapi berpada-pada. Jangan terlalu percaya semua benda di internet.
Didik mata dan akal kita supaya bijak menilai, bukan sekadar jadi ‘tukang share’ tanpa usul periksa.
Ingat, kalau penjenayah semakin canggih dengan AI, kita pun kena lebih cerdik untuk melindungi diri.
Jangan sampai ghairah dengan teknologi, akhirnya kita sendiri yang jadi bahan ugutan.