SHAH ALAM – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyambut baik pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 seliter yang mula diperluas bermula Ahad.
Pengurus Petronas Subang Bestari, Wan Mohd Hilmi Wan Mohd Ghazali berkata, sejak program itu bermula pada 27 September lalu, sambutan diterima di stesen berkenaan amat menggalakkan.
Menurutnya, pada hari pertama, jualan direkodkan sekitar 500 liter untuk anggota tentera dan polis yang layak.
“Bagi hari ini untuk penerima STR sahaja, dari pagi hingga petang, anggaran jualan meningkat antara 2,000 hingga 3,000 liter. Kita jangka menjelang malam ini jumlahnya mencecah 10,000 liter,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.
Beliau menjelaskan, bagi memudahkan pelanggan, Petronas menggalakkan pendaftaran melalui aplikasi Setel kerana lebih praktikal dan hanya memerlukan pengesahan sekali sahaja.
“Setel membolehkan pelanggan menyemak baki kelayakan dan penggunaan bulanan tanpa perlu keluarkan MyKad lagi,” ujarnya.
Wan Mohd Hilmi berkata, sejak dua hari pelaksanaan bersama penerima STR, lebih 30 pengguna baharu mendaftar Setel di stesen berkenaan.
“Bagi yang belum buat proses pengesahan identiti secara digital (e-KYC), kita sarankan segera lengkapkan pengesahan akaun kerana ia penting untuk semakan kelayakan BUDI95,” katanya.
Beliau menambah, kakitangan stesen telah diberikan taklimat untuk membantu pelanggan memahami kaedah penggunaan aplikasi.
“Selain Setel, pelanggan juga boleh menggunakan MyKad, e-cashier dan Touch ‘n Go. Namun kita galakkan Setel kerana lebih pantas dan mudah,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Zoolhilmi Abd Manaf, 48, berkata, pengalaman pertama agak kekok tetapi selepas dibantu kakitangan stesen, proses menjadi mudah.
“Pada mulanya MyKad saya tidak dapat dibaca, tetapi selepas cuba kali kedua dengan panduan staf, semuanya lancar. Alhamdulillah, sistem ini mudah digunakan,” katanya.
Pekerja kilang, M. Mahajothi, 32, pula menyifatkan Budi95 memberi penjimatan serta memudahkan proses tuntutan petrol bersubsidi RON95.
“Hanya serahkan MyKad, kemudian terus isi minyak pada harga subsidi. Memang bagus dan lebih murah,” katanya ringkas.
Penunggang p-hailing, Shahrol Zainal, 52, memuji pelaksanaan BUDI95 menggunakan MyKad adalah langkah tepat bagi mengelakkan ketirisan subsidi.
“Kalau sebelum ini warga asing pun boleh beli petrol harga subsidi, sekarang subsidi hanya untuk rakyat Malaysia. Saya rasa ia tepat pada masanya,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap golongan B40 dan pekerja gig.
Anggota RELA, Rosdan Ibrahim, 53, pula memuji penggunaan Setel yang dianggap sangat praktikal.
“Hanya daftar sekali dan semua maklumat terus dikemas kini. Saya layak menerima hingga 300 liter sebulan. Warga asing pula tak boleh guna kerana tiada MyKad,” jelasnya.
Katanya, langkah ini bukan sahaja menghalang ketirisan tetapi juga memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak.