SUNGAI SIPUT - [DIKEMAS KINI] Proses mendapatkan minyak petrol melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bermula hari ini berjalan lancar.
Tinjauan di Stesen Minyak Petronas Sungai Siput berhampiran Taman Muhibbah di sini mendapati orang ramai tidak mengalami masalah untuk mengisi minyak petrol.
Seorang pengguna dari Kampung Muhibbah, M Kanniappan, 70, mengakui urusan untuk mendapatkan BUDI95 sangat mudah.
Menurutnya, hanya perlu tunjuk kad pengenalan di kaunter dan terus boleh isi minyak motosikal kapcainya.
"Layanan staf Petronas di sini sangat mesra dan urusan pun sangat mudah.
"Dulu kena isi RM4 baru penuh tangki, hari ini isi RM3 sahaja sudah penuh," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Bagi Azhari Sulaiman, 51, dari Klebang Restu, proses untuk mendapatkan subsidi minyak ini amat mudah.
Jelasnya, tidak seperti pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mengalami masalah ketika membuat pembayaran.
"Saya risau kalau terpaksa menunggu lama untuk membayar dan mengisi minyak, tapi alhamdulillah sangat mudah.
"Memang inisiatif BUDI95 ini sangat bagus sebab dapat ringankan sedikit beban rakyat," katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohd Sabri Ramli, 49, mengakui pilihan pembayaran menerusi aplikasi Setel juga memudahkan pengisian minyak.
Jelasnya, proses bayaran juga cepat dan boleh terus menyemak had kelayakan minyak petrol yang masih berbaki.