Notifikasi ujian MySiren diterima hampir serentak - Fahmi

Iklan
Notifikasi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) diterima hampir serentak di lokasi yang memberikan maklum balas, termasuk Padang Besar di Perlis serta Pulau Sebatik dan Tawau di Sabah.

KUALA LUMPUR - Notifikasi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) diterima hampir serentak di lokasi yang memberikan maklum balas, termasuk Padang Besar di Perlis serta Pulau Sebatik dan Tawau di Sabah, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, maklum balas mengenai penerimaan notifikasi itu diperoleh secara langsung menerusi sesi bersama-sama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Jabatan Penerangan semasa ujian serentak di seluruh negara pagi ini.

Iklan
Iklan

Fahmi berkata, notifikasi ujian hari ini disiarkan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris, dan sistem itu juga boleh menyalurkan amaran dalam bahasa lain sekiranya ada cadangan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyalurkan amaran terus kepada telefon bimbit, yang serasi dalam kawasan liputan pemancar tanpa menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mengumpul maklumat pengguna.

Iklan

Fahmi berkata, MySiren beroperasi 24 jam, dan antara kegunaan segera sistem itu ketika Monsun Timur Laut ialah menyalurkan amaran kepada penduduk di kawasan berhampiran sungai apabila paras air melebihi tahap bahaya.

"Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya sambil menjelaskan bahawa deringan amaran yang kuat bertujuan menarik perhatian pengguna, termasuk pada waktu malam.

Iklan

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengemas kini perisian telefon bimbit masing-masing bagi membantu memastikan peranti boleh menerima notifikasi MySiren.

"Kita tidak perlu download (muat turun) aplikasi MySiren. Tak ada aplikasi pun," katanya.

Fahmi berkata, MySiren mula beroperasi pada 19 November, diikuti ujian bersama-sama ahli Parlimen pada 23 November sebelum ujian serentak di seluruh negara hari ini.- Bernama