Langkah mitigasi sedang dilaksana tangani 14 hotspot banjir di KL - Hannah Yeoh

Iklan
Hannah (kanan) dan Amir Hamzah (dua dari kanan) ketika hadir pada program berkenaan di Taman Sri Hartamas pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Beberapa langkah mitigasi sedang dilaksanakan bagi menangani baki 14 lokasi titik panas banjir di Kuala Lumpur, namun usaha itu memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pemantauan turut dilakukan setiap kali hujan bagi memastikan sebarang masalah berkaitan penyelenggaraan dapat ditangani dengan segera.

Iklan
Iklan

"Tetapi setiap kali hujan, Datuk Bandar akan menerima laporan daripada semua pejabat cawangan DBKL dan apa-apa yang melibatkan penyelenggaraan, tindakan akan diambil dengan cepat," katanya selepas Program Inisiatif Pengindahan Taman Sri Hartamas di sini pada Ahad.

Hannah (tiga dari kanan) bersama Amir Hamzah (dua dari kiri) selepas selesai program berkenaan di Taman Sri Hartamas pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Terdahulu, jumlah lokasi titik panas banjir di ibu negara berjaya dikurangkan lebih 50 peratus kepada 14 lokasi tahun ini berbanding 31 yang dikenal pasti antara 2020 hingga 2022.

Iklan

DBKL turut menyasarkan jumlah berkenaan dapat dikurangkan kepada 10 lokasi atau lebih rendah menjelang penghujung tahun ini.

Pada Sabtu, beberapa kawasan di ibu negara termasuk Sentul, Setapak dan Kampung Baru dilanda banjir kilat susulan hujan lebat serta angin kencang kira-kira jam 2.30 petang.

Kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta terperangkap dalam banjir kilat berhampiran Hospital Sentul, Jalan Sentul Selatan sebelum semua mangsa berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Hannah berkata, Taman Sri Hartamas yang berkeluasan kira-kira 1.46 hektar berpotensi diperkasakan sebagai ruang rekreasi komuniti yang lebih selesa, selamat, menarik dan inklusif.

"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyediakan persekitaran bandar yang berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup warga Kuala Lumpur.

"Pelaksanaan program ini melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan DBKL, dengan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Kewangan manakala RM300,000 disediakan oleh DBKL," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf itu turut mengambil kira pandangan persatuan penduduk setempat, khususnya dalam pemilihan peralatan permainan bagi memastikan kemudahan disediakan memenuhi keperluan komuniti.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja melibatkan Taman Sri Hartamas, malah akan diperluaskan ke kawasan Parlimen lain.

Sebagai rekod, sebanyak empat kawasan Parlimen dikenal pasti membabitkan 11 taman permainan kanak-kanak dan tiga kawasan padang untuk dibangunkan menerusi projek berkenaan.

Pelaksanaannya dijadual bermula seawal Disember ini dan dijangka siap pada suku pertama 2027.