Velez Sarsfield 'sisih' pemain Harimau Malaya

Iklan
Machuca ketika menyarung jersi Harimau Malaya baru-baru ini. Foto Agensi

KELAB Argentina, Velez Sarsfield mengesahkan pemainnya, Imanol Machuca digantung daripada sebarang aksi bersama El Fortín sehingga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan keputusan baharu berhubung dakwaan pemalsuan dokumen ketika mewakili Malaysia.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab berkenaan, mereka memaklumkan telah menerima notis daripada Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengenai keputusan FIFA yang melarang tonggak tengah itu terbabit dalam sebarang perlawanan rasmi sepanjang tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

“Sehingga ada notis baharu, pemain kami tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana perlawanan kelab,” jelas Velez dalam kenyataan itu.

Kelab itu juga menyatakan mereka sentiasa berhubung dengan Machuca bagi memantau perkembangan kes serta memberikan sokongan kepada pemain tersebut sepanjang proses yang sedang berjalan.

Iklan

Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada Jumaat lalu mengumumkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya serta denda berjumlah RM1.8 juta terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Antara pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Iklan

Mereka yang beraksi ketika Malaysia menentang Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Kumpulan F Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu turut dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) seorang.

Sementara itu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA berhubung kes berkenaan dan akan mengemukakan rayuan, sambil menegaskan semua dokumentasi serta prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.