KUALA LUMPUR – Hari kedua pelaksanaan subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa pada 28 September mendapat maklum balas positif daripada pengguna golongan B40 yang ditemui pada Ahad.
Pengguna, Arniza Adnan, 45, dari Taman Seri Manja, Petaling Jaya, melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan yang disediakan terutamanya melalui aplikasi khas.
Ibu kepada tiga anak yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu berkata, penggunaan aplikasi tersebut memudahkan proses tuntutan petrol bersubsidi RON95.
“Tiada masalah langsung menggunakan aplikasi untuk pembelian petrol RON95 pada harga subsidi. Subsidi ini dapat mengurangkan perbelanjaan,” katanya.
Bagaimanapun, Arniza menjelaskan beliau hanya mengisi minyak sebanyak RM50 seminggu kerana jarak antara tempat kerja dan kediaman agak dekat, menyebabkan kuota bantuan 300 liter sebulan itu tidak digunakan sepenuhnya.
Seorang lagi pengguna, Sivakumar Ramasamy, 46, dari Seksyen 25, Shah Alam turut berkongsi pengalaman positif apabila pertama kali menggunakan mekanisme subsidi petrol tersebut.
“Prosesnya mudah dan cepat. Saya tidak perlu beratur lama kerana sistem berjalan lancar. Dengan adanya subsidi ini, perbelanjaan harian keluarga lebih terkawal,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Sementara itu, Mohd Hafizi Din, 26, yang dalam perjalanan ke Tampin, Negeri Sembilan ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Genting Sempah berkata, urusan pembelian petrol berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Semuanya berjalan baik, urusan pembelian minyak juga tiada masalah. Semua urusan senang dari pengesahan kad pengenalan sehingga mengisi minyak,” katanya.