BANDAR SUNWAY – Festival seram terbesar negara, Nights of Fright kembali menemui pengunjung dengan edisi ke-11 yang lebih menggerunkan, bermula 26 September hingga 2 November ini di Sunway Lagoon.
Bertemakan ‘The Puppetmaker’, festival kali ini mengetengahkan tujuh tarikan baharu selain dua tarikan kegemaran ramai, menjanjikan pengalaman menyeramkan yang belum pernah dirasai.
Penolong Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Sunway Theme Parks, Michelle Soong berkata, sejak diperkenalkan pada 2013, Nights of Fright berkembang menjadi acara tahunan ikonik yang berjaya menarik lebih sejuta pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, festival itu kini menjadi pentas pertemuan antara budaya Malaysia dan dunia seram global.
“Nights of Fright bukan sekadar hiburan mendebarkan tetapi turut menyokong bakat tempatan dan merancakkan pelancongan negara,” katanya ketika pelancaran Nights of Fright 11 di Sunway Lagoon di sini pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Kreatif Nights of Fright yang juga Ketua Pegawai Eksekutif The Sudden Impact! Entertainment Company, Lynton V Harris, berkata penceritaan dan suasana unik menjadikan festival ini sebagai penanda aras hiburan seram di rantau ini.
Beliau berkata, antara tarikan yang menanti pengunjung termasuk lapan rumah seram, satu teater seram dan tiga zon seram.
Katanya, pengunjung juga boleh mencuba 13 permainan adrenalin, dua pentas persembahan langsung serta pelbagai hidangan bertemakan seram.