TINGGALAN purba telah sekian lama menarik perhatian manusia sehingga mencetuskan pelbagai teori.
Enigma sejarah yang tidak dapat diselesaikan hingga kini telah mencetuskan rasa ingin tahun orang ramai terutamanya golongan pakar dalam kalangan ahli arkeologi dan sejarawan.
Pelbagai persoalan dan kod rahsia cuba dirungkai dengan menggunakan teknologi moden.
Ia dikatakan hampir menemui jawapan untuk membongkar kebenaran.
Berikut ialah 10 misteri agung peninggalan dunia kuno.
-----------
1.Mekanisme Antikythera
Objek berusia 2,000 tahun yang ditemui dalam bangkai kapal Yunani purba ini digelar sebagai 'komputer pertama' untuk mengukur dan memaparkan masa berdasarkan kedudukan astronomi. Ia dianggap ciptaan paling canggih sehingga mencetuskan teori ia mungkin milik makhluk asing kerana teknologinya dikatakan terlalu maju untuk zaman tersebut.
2.Manuskrip Voynich
Ia telah ditulis di Eropah Tengah kira-kira 600 tahun lalu. Tetapi, para sarjana masih gagal menterjemahkan bahasa yang digunakan. Teknologi kecerdasan buatan (AI) mendakwa ia merupakan bahasa Ibrani dalam bentuk kod. Tetapi, kajian itu hanya dapat memadankan 80 peratus perkataan dengan bahasa Ibrani selain ayat yang tidak koheren.
3.Dataran Balang
Tempayan batu gergasi setinggi kira-kira tiga meter di tengah-tengah pergunungan di Laos ini dipercayai berasal kira-kira 2,500 tahun yang lalu. Penemuan rangka di kawasan itu membuktikan ia mungkin digunakan untuk upacara pengebumian. Menurut kisah mitos, ia digunakan bagi menyimpan wiski atau wain beras untuk gergasi yang membantu penduduk setempat. Selepas Perang Vietnam berakhir, hanya tujuh daripada 60 Dataran Balang dibuka kepada umum.
4.Roman Dodecahedron
Artifak zaman Empayar Rom ini mendapat nama berdasarkan bentuk bongkah yang mempunyai 12 sisi permukaan rata. Ia diperbuat daripada batu atau gangsa berongga antara tahun 100 dan 300 Masihi. Fungsi sebenarnya terus menjadi tanda tanya dan penyelidik percayai ia mungkin ada kaitan dengan tanda zodiak atau senjata atau simbol agama.
5. Garisan Nazca
Antara tahun Satu dan 700 Masihi, komuniti Nazca di Peru mengukir batu untuk menghasilkan pelbagai bentuk termasuk haiwan dan corak geometri yang boleh dilihat dengan jelas dari udara. Sarjana awal percaya ia ada kaitan dengan ilmu astronomi dan terdapat juga teori yang mendakwa ia mungkin digunakan sebagai ritual untuk memohon hujan.
6.Paracas Candelabra
Ukiran pada kawasan bukit berpasir ini sama seperti Garisan Nazca di Peru, namun ia mempunyai misteri tersendiri. Artifak seperti bentuk lilin sepanjang hampir 200 meter itu dihasilkan pada tahun 200 sebelum Masihi. Ramai percayai ia sebagai persembahan untuk tuhan.
7. Thonis-Heracleion
Kira-kira 2,700 tahun lalu, bandar pelabuhan Thonis-Heracleion berfungsi sebagai pintu masuk ke Mediterranean sebelum ditelan laut. Pada awal tahun 2000, sekumpulan penyelam menemui artifak purba itu dengan seluruh bandar tenggelam di dasar laut di luar pantai Mesir. Timbul teori kenaikan paras laut atau bencana berganda mungkin telah 'menelan' pusat bandar itu sebelum tahun 800 Masihi.
8.Makam Cleopatra
Cleopatra VII merupakan ratu terakhir yang memerintah Mesir kuno. Kisah hidupnya banyak diceritakan, namun kematiannya terus menjadi misteri dan gagal dibongkar hingga kini. Segelintir penyelidik percaya Cleopatra disemadikan di Iskandariah. Tetapi, makamnya dikatakan hilang selepas tsunami melanda kota tersebut. Ada juga pakar mendakwa makam tersebut masih belum ditemui di Delta Nil.
9. Stonehenge
Ia merupakan struktur prasejarah paling ikonik di dunia. Ahli arkeologi percaya tinggalan purba dalam formasi bulatan yang ditemui di England itu mengambil masa kira-kira 1,500 tahun untuk dibina. Fungsi sebenar monumen era Neolitik ini terus mengundang teka-teki dan ada yang mengaitkannya dengan upacara pengebumian atau menjadi tapak penting kepada komuniti purba di Britain.
10. Monumen Yonaguni
Ia terletak di dasar laut di luar pantai Jepun. Monumen digelar sebagai 'Atlantis Pasifik' itu merupakan formasi batuan besar yang menyerupai piramid buatan manusia. Binaan dalam bentuk garis lurus dan sudut tepat ini ditemui pada 1980-an. Ada penyelidik yang percaya ia sebagai bukti tamadun yang hilang manakala segelintir yang lain percaya ia adalah pembentukan secara semula jadi walaupun bentuknya pelik.