PARIS - Seperti dalam babak filem seram, penumpang Ryanair berdepan detik mengerikan selepas dua lelaki mengunyah pasport mereka secara tiba-tiba.
Tindakan pelik itu dibuat tidak lama selepas isyarat memakai tali pinggang keledar dimatikan hingga mencetuskan huru-hara dalam ruang kabin.
Seorang saksi yang menaiki penerbangan dari Milan ke London Stansted itu menyifatkan ia sebagai 'pengalaman selama 15 minit yang paling menakutkan dalam hidupnya'.
"Salah seorang daripada lelaki itu yang berada di ruang hadapan bertindak mengoyakkan pasportnya dan mula mengunyah dengan rakus. Rakannya pula menuju ke arah bertentangan dan meluru ke tandas.
"Kru penerbangan mengetuk pintu tandas berkali-kali hingga menyebabkan situasi menjadi semakin tegang dan ramai penumpang cemas. Lelaki itu dipercayai cuba mengepam pasport miliknya," menurut laporan The Mirror.
Susulan insiden itu, pesawat berkenaan terpaksa mendarat cemas di Paris dan kedua-dua individu aneh tersebut dibawa pergi oleh pihak berkuasa.
Ia kemudiannya meneruskan perjalanan ke destinasi asal iaitu London selepas pemeriksaan menyeluruh bagasi dilakukan. - Agensi