JAKARTA - Indonesia telah menaburkan sebanyak 2.4 tan ais kering di ruang udara Sumatera Selatan menerusi operasi pengubahsuaian cuaca selama dua hari bertujuan mengurangkan jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, operasi dari 15 hingga 16 Oktober itu pada mulanya menumpukan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang, di mana jerebu tebal telah mengganggu penerbangan.
"Operasi pengubahsuaian cuaca selama dua hari itu melibatkan tiga penerbangan dengan jumlah masa penerbangan selama tujuh jam tiga minit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sumatera Selatan adalah antara enam wilayah yang diberi keutamaan oleh Indonesia bagi mencegah dan menangani kebakaran hutan dan tanah, selain Riau, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, dengan 189 kawasan panas direkodkan di wilayah itu setakat Jumaat malam.
Berton berkata, ais kering sedang diuji sebagai kaedah alternatif untuk menyuraikan jerebu dengan melemahkan keadaan atmosfera yang memerangkap asap berhampiran permukaan tanah, sekali gus berpotensi membolehkan asap naik dan meningkatkan jarak penglihatan.
Beliau berkata, jarak penglihatan di lapangan terbang meningkat daripada 1,000 meter kepada kira-kira 3,000 meter semasa operasi dijalankan, sekali gus mewujudkan keadaan yang lebih selamat bagi operasi penerbangan.
Bagaimanapun, beliau mengakui kajian lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada peningkatan itu berpunca daripada rawatan ais kering atau faktor cuaca lain.
Secara berasingan, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam kenyataan memaklumkan asap daripada kebakaran hutan dan tanah sempat mencapai ruang atmosfera Jabodetabek (Jakarta Raya) pada Jumaat, namun mula bergerak menjauh pada Sabtu tanpa bukti memberi impak kepada kualiti udara di permukaan tanah.
Menurut badan itu, kualiti udara di seluruh Jakarta berada pada tahap baik hingga tidak sihat pada Sabtu, dengan paras zarah halus bawaan udara (PM2.5) di Kemayoran, Jakarta Pusat, direkodkan antara 46.7 dan 109.7 mikrogram setiap meter padu. - Bernama