TEMERLOH - Menjelang Belanjawan 2026, golongan seperti pekebun kecil tidak terkecuali berharap agar kerajaan dapat terus membantu memperkasakan industri tanaman.
Bagi seorang pekebun durian, Khaidir Ahmad, 63, berkata, kerajaan diminta mewujudkan satu agensi khusus bagi memastikan industri tanaman durian terus menjana pendapatan buat negara.
“Kalau getah ada RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah), sawit pula Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan nanas pun ada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB), industri tanaman durian pun perlu ada agensi khusus atau lembaga bagi memastikan industri ini terus kekal bertahan.
“Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada industri tanaman durian kerana ia merupakan industri berpotensi tinggi,” katanya yang memiliki keluasan dusun durian seluas 2.4 hektar.
Bagi pekebun kelapa sawit, Mohamed Marizi Sohaimi, 65, pula bersyukur dengan kestabilan harga sawit di pasaran pada masa ini.
“Cuma saya berharap pihak kerajaan menerusi Belanjawan 2026 dapat memberikan bantuan khas kepada pekebun kecil seperti bantuan anak pokok dan baja kerana kebanyakan pekebun mengeluarkan kos besar sendiri,” tambahnya yang mengusahakan kebun seluas 1.2 hektar di sini.
Sementara itu, bagi pekebun getah, Dolah Sam, 85, mengharapkan bantuan tanam semula dapat dipercepatkan.
“Sekarang harga getah RM3.60 sekilogram kalau jual pada RISDA dan berharap kerajaan dapat membantu untuk meningkatkan lagi harga memandangkan kos hidup kian meningkat,” tambahnya.