RM2.6 juta transaksi RON95 direkod hari pertama BUDI95

Iklan
Sebanyak RM2.6 juta pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, direkodkan pada hari pertama pelaksanaan BUDI95, setakat jam 9 malam ini. Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM2.6 juta pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, direkodkan pada hari pertama pelaksanaan BUDI Madani RON95 (BUDI95), setakat jam 9 malam ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu, melibatkan pembelian kira-kira 1.3 juta liter petrol oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang merupakan kumpulan pertama menikmati inisiatif berkenaan.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan laporan di lapangan, urusan BUDI95 berjalan lancar dengan sistem BUDI95 stabil dan pembacaan MyKad oleh terminal di stesen minyak beroperasi dengan baik.

"Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada semua anggota ATM dan PDRM yang menjadi kumpulan terawal memanfaatkan BUDI95,” menurut kenyataan MOF, malam ini.

Iklan

Bermula esok, BUDI95 akan diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40, sebelum pelaksanaannya dilaksanakan sepenuhnya pada 30 Sept, melibatkan sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lepas, sebanyak 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan untuk menerima subsidi RON95.

Iklan

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595. - Bernama