KOTA BHARU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menilai semula kadar elaun perbatuan yang didakwa sudah lama tidak disemak, bagi memastikan kebajikan penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri ketika bertugas terus terbela.
Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penjawat awam kerana mereka berisiko menanggung kos minyak lebih tinggi apabila penggunaan melebihi had yang ditetapkan.
“Sebahagian besar penjawat awam, khususnya yang sering menjalankan tugasan luar kawasan, bergantung kepada kenderaan sendiri.
"Apabila penggunaan minyak melepasi kuota yang dibenarkan, sudah tentu perbelanjaan mereka meningkat," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Kelantan di Insitut Pendidikan Guru (IPG), Pengkalan Chepa di sini.
Menurut beliau, Cuepacs masih menunggu maklumat lengkap berhubung had liter dan mekanisme pelaksanaan, tetapi respon awal menunjukkan wujud kebimbangan mengenai beban kewangan tambahan.
Ujarnya, antara cadangan yang ingin dikemukakan kepada kerajaan ialah dengan menilai semula elaun perbatuan yang kali terakhir disemak pada tahun 2008 agar diselaraskan dengan kos semasa.
“Kenaikan elaun itu perlu mengambil kira harga minyak semasa supaya lebih seimbang dengan kos ditanggung penjawat awam.
"Mekanisme yang sesuai amat penting agar tidak menjejaskan tugas mereka di lapangan,” katanya.
Adnan menegaskan, Cuepacs komited bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari pendekatan terbaik bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar tidak menekan penjawat awam, sebaliknya dapat mengekalkan motivasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.