Pada 17 Ogos 2023, langit Elmina bertukar menjadi saksi duka. Sebuah pesawat ringan Beechcraft Model 390 terhempas di tengah jalan dan meragut 10 nyawa sekelip mata.
Tragedi itu mengejutkan negara dengan meninggalkan luka yang tidak mudah sembuh.
Antara yang terkorban ialah Muhammad Hafiz Muhamad Salleh. Seorang anak muda dengan harapan dan cita-cita yang tidak sempat disempurnakan. Bagi orang luar, mungkin sekadar satu nama di dada akhbar. Namun bagi keluarganya, kehilangan itu meruntuhkan dunia mereka.
Nahas Elmina mengingatkan kita bahawa hidup ini sangat rapuh. Dalam sekelip mata, segala yang kita genggam boleh terlerai.
Di sinilah pentingnya jaringan perlindungan. Ia bukan sekadar dasar di atas kertas tetapi payung yang menjaga kita ketika langit tiba-tiba mendung.
Jaminan masa depan keluarga, waris
Pada hari nahas itu, keluarga Allahyarham Muhammad Hafiz kehilangan seorang anak, seorang adik dan seorang insan kesayangan.
Kehilangan itu tiada galang gantinya. Namun dalam saat paling gelap, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hadir menghulurkan simpati yang diterjemahkan dalam bentuk perlindungan yang sudah tersedia.
Baru-baru ini, bapa Allahyarham, Muhamad Salleh Othman dan ibunya, Jamilah Ismail bersama adiknya, Muhammad Hamidi menerima pencen bulanan PERKESO berjumlah RM1,894.75.
Jumlah ini mungkin hanya angka di atas kertas, tetapi bagi mereka ia adalah nafas untuk meneruskan hidup. Ia adalah ruang untuk berdiri semula setelah dunia mereka runtuh.
Inilah makna sebenar perlindungan sosial. Ia tidak mampu mengembalikan Hafiz tetapi berupaya memastikan ibu bapa dan adiknya tidak dibiarkan sendirian.
PERKESO hadir sebagai pelindung pada saat rakyat paling memerlukan. Pelindung yang memastikan keluarga tidak rebah bersama tragedi dan harapan masih terus menyala.
RUU Pekerja Gig 2025 langkah bersejarah
Hakikatnya, komitmen kita untuk melindungi setiap lapisan masyarakat tidak pernah berhenti. Buktinya, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, langkah bersejarah yang meletakkan Malaysia sebagai peneraju global melindungi pekerja sektor informal.
RUU ini menzahirkan aspirasi Kerajaan Madani dalam memastikan tiada siapa yang tercicir daripada sistem perlindungan sosial, termasuk lebih 1.2 juta pekerja gig yang selama ini berada dalam ketidakpastian.
Menerusi RUU ini, pekerja gig dalam sektor seperti e-hailing dan p-hailing kini akan menikmati perlindungan keselamatan sosial yang lebih komprehensif, sama seperti pekerja konvensional.
Ini bukan sekadar polisi baharu, tetapi pengiktirafan rasmi terhadap peranan dan sumbangan pekerja gig kepada ekonomi negara.
Ia juga membawa satu mesej yang benar-benar jelas iaitu walaupun model pekerjaan berubah, hak mereka untuk dilindungi tetap terpelihara.
WSSF 2025, bukti komitmen bersama
Sebagai tuan rumah kepada World Social Security Forum (WSSF) 2025, Malaysia berbangga untuk berkongsi kejayaan yang dikecapi selama ini. Kejayaan ini tidak datang bergolek, ia datang dari jerih, perih dan keringat tanpa henti.
Bak kata Buya Hamka: “Tidak ada jalan menuju kesuksesan yang singkat, selalu ada proses dan kerja keras yang harus dilakukan”. Ya, dan itulah yang dilakukan selama ini.
Namun kita tahu, cabaran tidak pernah berhenti. Langkah seterusnya adalah memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dalam memastikan rakyat sentiasa dilindungi, siang dan malam selama 24 jam sehari.
Justeru itu, WSSF 2025 di Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah acara di dalam kalendar antarabangsa. Ia adalah pemangkin lahirnya idea besar, pengikat iltizam yang teguh dan bukti komitmen bersama Malaysia serta dunia dalam membina perlindungan sosial yang benar-benar inklusif demi melindungi semua.