SHAH ALAM- Pertimbangan terhadap keadaan fiskal negara, keadilan dan keberkesanan dalam memastikan subsidi disalur kepada rakyat serta kesiapsiagaan kerajaan bagi mendepani infrastruktur digital antara faktor mengapa program Budi Madani RON95 (BUDI95) patut dilaksanakan sekarang.
Dari konteks keadaan fiskal, Penganalisis Ekonomi daripada Firma Strat369 Consulting, Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan berpandangan, kerajaan perlu menutup ruang ketirisan dan mengurus pendedahan kepada turun naik harga minyak.
Menurutnya, subsidi pukal sukar ditanggung ketika pasaran global tidak menentu, sedangkan subsidi bersasar dengan had volum mengurangkan liabiliti mengikut kitaran komoditi.
“Kedua, dari sudut keadilan dan keberkesanan, prasyarat MyKad dan lesen memandu memastikan subsidi khusus untuk rakyat. Siling kelayakan 300 liter mengekang penyalahgunaan tetapi dalam masa sama, memenuhi keperluan majoriti pengguna harian.
“Akhir sekali, kesiap siagaan kerajaan mendepani infrastruktur digital. Sema kan MyKad dan aplikasi pembayaran di stesen minyak memudahkan penguatkuasaan real-time serta audit ketirisan.
“Dengan reka bentuk fasa yang boleh diperketat contohnya menilai semula kelayakan kumpulan berpendapatan tinggi, pelaksanaan sekarang menyeimbangkan kelegaan kos hidup segera, ditambah pembetulan struktur subsidi lebih mampan untuk puluhan tahun akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Bekas pensyarah kanan ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menambah, penjimatan fi skal daripada rasionalisasi petrol sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah selepas kerajaan menyemak semula unjuran asal yang lebih tinggi.
Katanya, setiap ringgit subsidi pukal yang dikurangkan boleh dialih kepada bentuk bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau perkhidmatan awam.
Jelas beliau, kedua-dua saluran tersebut progresif kerana berkadar lebih besar kepada B40 atau M40 rendah, berbanding subsidi petrol yang lazimnya dinikmati pengguna berpendapatan tinggi.
“Jika sebahagian besar penjimatan fi skal ini disalurkan semula kepada STR atau SARA selain pelaburan dalam pengangkutan awam, kesan pengganda kepada ekonomi setempat dan keadilan agihan bakal cecah lebih tinggi berbanding kekalkan subsidi petrol secara terbuka,” ujarnya.
Dalam pada itu, penganalisis itu berpendapat bahawa reka bentuk BUDI95, ketetapan harga minyak rendah, semakan menerusi MyKad atau lesen dan kuota 300 liter lebih mampan berbanding subsidi pukal, malah ia sejajar pembetulan fi skal yang lebih berhati-hati.
“Justeru, pelaksanaan BUDI95 berkait soal keadilan dan perlindungan kelangsungan rakyat serta usaha kerajaan membangunkan ekonomi negara yang lebih kukuh,” jelas beliau lagi.
Manfaat kepada masyarakat
Pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan menerusi program BUDI95 bukti jelas usaha kerajaan dalam mengekang ketirisan bahan api itu di samping mengembalikan hak rakyat selaku pembayar cukai di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (Komuniti Desa Madani), Noor Azli Khamis, 41, berkata, usaha penyaluran subsidi petrol secara terus kepada warganegara patut dilaksanakan sejak dahulu lagi.
Menurut ketua kampung Sungai Pinang, Klang, Selangor itu, subsidi terbuka yang selama ini turut dinikmati bukan warganegara, ekspatriat dan syarikat besar disifatkan tidak adil, seolah-olah menafi kan hak rakyat Malaysia.
“Subsidi datang daripada duit cukai rakyat Malaysia. Jadi, manfaat pun mestilah berbalik kepada kami juga, bukannya bocor kepada warga asing atau syarikat besar.
“Contohnya, rakyat Singapura datang ke Malaysia untuk mengisi minyak, mereka tak layak untuk dapat subsidi pun dan ada masanya pekerja stesen minyak tak dapat bezakan seseorang itu warganegara ataupun bukan.
“Dengan adanya BUDI95, selepas ini kewarganegaraan boleh dikenal pasti melalui MyKad bagi melayakkan mereka menikmati subsidi BUDI95, itu pun kalau lesen memandu masih berkuatkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Noor Azli menambah, tindakan kerajaan menyelaraskan subsidi bahan api mampu membawa kepada penjimatan lebih besar buat kewangan negara memandangkan harga baharu RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter.
Justeru, katanya, tidak mustahil wang yang diperoleh daripada langkah penjimatan tersebut boleh digunakan untuk tujuan lebih mustahak misalnya pembinaan sekolah, hospital atau tambahan peruntukan dalam SARA dan STR.
“Saban tahun kerajaan dilaporkan menanggung subsidi pukal bahan api setinggi RM80 bilion. Jumlah ini tak boleh diteruskan kerana ia memberi beban besar kepada kewangan negara.
“Jadi, saya fikir wang sebanyak ini ada baiknya disalurkan untuk pembinaan hospital, sekolah, jalan raya dan pembangunan program rakyat.
“Pelaksanaan BUDI95 secara tidak langsung berpotensi merapatkan jurang ekonomi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Bantuan tunai diterima juga membantu meringankan beban kos sara hidup,” ujarnya.
Ditanya mengenai usaha Kerajaan Madani dalam mendepani krisis ketirisan bahan api, pengurus perhubungan awam dan media, Sarina Mohd Som, 47, berpandangan, pengenalan BUDI95 mampu menuntaskan segala permasalahan berbangkit.
Sarina berkata, hanya warganegara dengan MyKad dan lesen memandu sah sahaja layak, satu penegasan yang membuatkan oportunis serta golongan mencari ‘untung atas angin’ gigit jari.
Beliau berpandangan, pemberian kuota bulanan 300 liter bukannya sedikit, malah amat memadai dan dia sekeluarga mampu berjimat-cermat dalam perbelanjaan.
“Inisiatif ini meringankan beban dan memuaskan hati ramai pihak khususnya mereka yang memperoleh gaji harian serta tetap.
“Sekurang-kurangnya lebihan gaji yang sebelum ini disimpan untuk duit minyak, boleh digunakan untuk keperluan penting lain pula contohnya barangan asas rumah atau persiapan menjelang musim persekolahan tahun depan,” kata Sarina.