KUALA LUMPUR - Program Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berperanan sebagai wadah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar berkata, program itu bukan sekadar medan mengasah bakat pelajar dalam bidang seni teater, malah ia turut memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan kreativiti, daya imaginasi dan penghayatan terhadap isu-isu masyarakat.
Menurutnya, ia juga sebagai salah satu inisiatif menggalakkan penguasaan dan penghayatan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar SJKC di samping memartabatkan seni teater sebagai medium pembelajaran dan penghayatan budaya yang berkesan.
"Pertandingan kali ini memasuki tahun ketujuh, menerima penyertaan menggalakkan iaitu sebanyak 29 buah SJKC dari seluruh negara yang melibatkan seramai 288 pelajar. Hanya 16 sekolah terbaik daripada jumlah sekolah tersebut akan melangkah ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara kebangsaan.
"Apa yang menjadikan pertandingan ini unik ialah semua persembahan teater dipentaskan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Semua peserta dilihat sangat berbakat, mampu menguasai pentas, mahir dalam bidang lakonan, fasih berbahasa Melayu serta berupaya memahami asas-asas teater.
"Penyertaan pada kali ini menerima sambutan yang amat menggalakkan. Pada masa akan datang, kami berhasrat untuk memperluaskan pelaksanaan program mengikut zon iaitu selatan, timur, barat dan utara serta akan berusaha melibatkan penyertaan murid dari Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Perasmian Penutupan Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini pada Khamis.
Program berprestij tersebut dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Guru Besar SJKC Malaysia.
Tambah Mohd Radzi, melalui persembahan yang dipentaskan, para pelajar akan menyampaikan mesej pendidikan, moral dan nilai murni yang boleh dijadikan teladan oleh khalayak penonton.
"Seni teater dijadikan jambatan untuk merapatkan hubungan antara murid berbeza latar belakang dengan memanfaatkan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi dan pengantar dalam seni persembahan. Dengan cara ini, kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dapat dipupuk sejak di bangku sekolah.
"Pertandingan ini juga dilihat sebagai usaha murni dalam memperkasa peranan seni budaya sebagai salah satu bentuk pembelajaran yang kreatif. Seni teater bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut berfungsi sebagai medium mendidik, membina keyakinan diri serta melatih keberanian pelajar dalam berkomunikasi di khalayak ramai.
"Secara tidak langsung, ia menyumbang kepada perkembangan sahsiah dan bakat generasi muda negara sekali gus menjadi platform penting bagi memperkukuh usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa perpaduan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kejayaan program berkenaan membuktikan sistem pendidikan negara bukan sahaja melahirkan murid yang cemerlang dari aspek akademik, malah turut menyerlah dalam bidang kokurikulum serta pembinaan sahsiah.
Menurut beliau, menerusi program sedemikian, KPM yakin bahawa sistem pendidikan pelbagai aliran yang diiktiraf di bawah akta pendidikan mampu melahirkan generasi pelapis yang berbakat, berkarakter dan mampu menjadi pemimpin masa depan negara.
"Hari ini kita dapat lihat anak-anak bukan sahaja berprestasi dalam bilik darjah tetapi juga berani ke pentas dengan penguasaan bahasa yang begitu baik. Inilah hasil daripada pendidikan kita.
"Keseragaman budaya, bahasa dan agama bukan kelemahan, malah ia adalah kekuatan untuk kita melangkah ke hadapan di bawah semangat Malaysia Madani," katanya.
REAKSI
“Semoga pertandingan ini dapat diteruskan dan sekolah yang belum pernah menyertai akan turut mencuba kerana banyak input positif yang boleh diperoleh daripada pengalaman berharga ini." - Guru pengiring SJKC Pong, Selangor, Ng Sow Ping.
“Program ini memberi peluang kepada murid untuk meneroka dunia teater dengan lebih mendalam, seterusnya menanam kecintaan terhadap seni pentas serta keberanian untuk mengekspresikan diri mereka." - Jurulatih SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur, Vincent Hau.
“Tahun lalu kami berjaya meraih Anugerah Citra Budi, manakala pada tahun ini pula kami diberi rezeki untuk menerima Anugerah Citra Cakna Kreatif. Saya berpandangan program ini amat bermakna kerana ia membuka peluang kepada murid untuk menguji bakat dalam bidang teater yang sememangnya mencabar." - Jurulatih SJKC Wangsa Maju, Kuala Lumpur, See Shi En.