LONDON - Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pada Jumaat mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan kad pengenalan digital untuk warganegara dan kumpulan yang menetap di negara itu sebagai usaha mengekang pendatang haram.
Menurut kerajaan, langkah itu juga akan memudahkan permohonan perkhidmatan seperti lesen memandu, penjagaan kanak-kanak dan faedah kebajikan lain di samping mengemaskini akses kepada rekod cukai.
Iklan
Iklan
"Kad pengenalan digital itu akan disimpan di dalam telefon bimbit individu. Ia wajib ditunjukkan kepada pihak berkenaan apabila diminta bagi membuktikan hak mereka untuk bekerja," jelas kenyataan itu lagi.
Difahamkan, ia bertujuan untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan berikutan banyak sektor kini dimonopoli oleh golongan pendatang haram.
"Kad pengenalan digital merupakan peluang besar buat negara kita kerana warga Britain dapat meraih banyak manfaat daripadanya," ujar Starmer.
Keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan majoriti rakyat menyokong idea itu meskipun ia ditolak ramai sebelum ini. - Agensi